Isnin, 20 Jun 2016 | 1:41pm

Kemampuan Vicha bertutur bahasa Malaysia diragui

KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia yang melakar kerjaya seni di negara ini, Vicha, mengakui masih ada yang skeptikal terhadap kemampuannya berbahasa Melayu dengan fasih hingga teragak-agak menawarkannya peluang lakonan.

Katanya, pergaulan dengan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, selain mempunyai ramai teman karib berbangsa Melayu membantunya bertutur loghat tempatan dengan lancar.


PELAKON Indonesia yang melakar kerjaya seni di negara ini, Vicha. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Saya bekerja di sini hampir lima tahun dan sepanjang tempoh itu komunikasi lebih kepada bahasa Melayu. Kawan rapat juga menggalakkan saya belajar melembutkan lidah dengan sentiasa menggunakan bahasa ini.

"Dari segi kosa kata tidak banyak beza, cuma sebutan yang perlu saya kuasai. Bukan bermakna saya lupa bahasa ibunda, tetapi berbahasa Malaysia dengan lancar membuka lebih banyak peluang bagi meneroka watak lain.

"Boleh dikatakan saya semakin fasih sekarang sehingga ketika balik kampung, baru-baru ini, anak menyangka ibu mereka sudah lupakan Indonesia disebabkan lenggok percakapan. Lucu juga mendengar tanggapan itu, namun saya terangkan keadaan supaya mereka faham," kata ibu tunggal kepada tiga anak itu.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Refika Novianti Faturohman itu berharap diberi ruang membawakan watak serius sekali gus menguji kemampuannya.

Katanya, sebelum menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) 2011, beliau lebih banyak membawakan peranan berat ketika di Indonesia, namun kini portfolionya lebih kepada pelawak.

"Bukan saya tidak suka berlakon komedi, apatah lagi tidak mudah untuk membuat orang ketawa, tetapi saya juga rindu mahu menghidupkan karakter serius seperti dulu selain teringin menjadi pelakon air mata.

"Sebagai pelakon, saya enggan mengehadkan diri kepada sesuatu genre sedangkan saya tahu kemampuan saya lebih daripada itu," katanya yang turut membintangi filem arahan Aaron Aziz, Sayu Yang Syukur.

Berita Harian X