Selasa, 21 Jun 2016 | 8:27am

Warisan Harta Sabah bayar zakat RM1.27 juta


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (tengah) menyaksikan Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marahaban (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Pengetua Rumah Anak Yatim Yayasan Kebajikan Suria Tuaran, Awang Rablah Salil selepas Majlis Berbuka Puasa WHS Sdn Bhd di Kota Kinabalu, semalam. - Foto Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Kumpulan Warisan Harta Sabah (WHS) Sdn Bhd membayar zakat perniagaan berjumlah RM1.27 juta kepada Pusat Zakat Sabah (PZS) hasil keuntungan perniagaannya pada tahun lalu.

Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marahaban, berkata ia adalah zakat terkumpul sumbangan WHS dan anak syarikatnya serta syarikat bersekutu yang terbabit dalam perniagaan berkaitan pembangunan infrastruktur dan telekomunikasi di negeri ini.

Beliau berkata, anak syarikat dan syarikat bersekutu yang membayar zakat ialah Angkatan Hebat Sdn Bhd, Celcom Timur Sabah Sdn Bhd dan Common Tower Technologies Sdn Bhd.

"Pada tahun 2015 WHS mencatat prestasi kewangan yang baik dan hasil daripada keuntungan yang diperoleh kita dapat membayar zakat perniagaan kepada PZS sebanyak RM1.27 juta.

"Walaupun berkurangan berbanding tahun lalu, kita yakin ia mampu ditingkatkan pada tahun akan datang," katanya pada Majlis Berbuka Puasa WHS Sdn Bhd bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan anak yatim dari Yayasan Kebajikan Suria, Tuaran, semalam.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali; Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Teo Chee Kang dan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Suhaili Said.

Pada majlis itu, Musa yang juga Menteri Kewangan negeri menyaksikan penyerahan zakat WHS yang disampaikan Ramlee kepada Suhaili yang mewakili PZS.

Turut disampaikan ialah sumbangan RM5,000 daripada WHS kepada rumah anak yatim Yayasan Kebajikan Suria, Tuaran.

Ramlee yang juga Pengerusi WHS berkata, syarikat itu juga komited untuk meneruskan pembayaran dividen kepada kerajaan negeri selaku pemegang saham dengan komitmen tidak kurang RM10 juta dibayar tahun lalu.

Seramai 44 anak yatim yang hadir pada majlis itu turut menerima duit raya sumbangan WHS.

Berita Harian X