Selasa, 21 Jun 2016 | 11:00am
PRESIDEN Barack Obama. - Foto EPA

Obama, Biden & Carter kecam dasar Trump

WASHINGTON: Presiden Barack Obama, Naib Presiden dan Setiausaha Pertahanan mengecam dasar calon presiden Republikan, Donald Trump, yang disifatkan mereka akan meminggirkan umat Islam secara global bersama-sama sekutu Amerika Syarikat dan jirannya.

Dalam ucapan yang memberi tumpuan kepada keselamatan negara di Washington, Naib Presiden Joe Biden, berkata desakan Trump supaya menghalang kemasukan umat Islam dan mewujudkan pengenalan khas untuk penduduk Islam Amerika membayangkan politik ketakutan dan tiada toleransi.

"Ada 1.4 bilion umat Islam di dunia. Sebahagian retorik yang saya dengar bertujuan melabelkan semua 1.4 bilion itu sebagai radikal," kata Biden.

Serangan lisan Biden yang menyifatkan Trump sebagai tokoh terpencil, dan yang lain dikeluarkan Obama dan Ash Carter menunjukkan serangan awal luar biasa ke atas calon presiden parti pembangkang.

Merujuk kepada janji Trump untuk mendirikan tembok di sepanjang sempadan Amerika dengan Mexico jika terpilih, Biden berkata, ia adalah ancaman paling kompleks yang tidak menghormati sempadan dan tembok itu akan memusnahkan pencapaian pentadbiran Obama yang dibuat dengan jiran negara itu.

"Jika kita membina tembok dan tidak menghormati jiran, kita akan segera melihat semua kemajuan hilang, digantikan dengan kembalikan sentimen anti-Amerika, perselisihan yang menghakis seluruh hemisfera," katanya. - REUTERS

Berita Harian X