Selasa, 21 Jun 2016 | 11:45pm

Myeg, LZS rai warga emas Bait Al Mawaddah

RAJA Munir Shah (tengah) menyerahkan sumbangan kepada warga emas pada majlis berbuka puasa bersama pegawai dan kakitangan Myeg Services Bhd anjuran LZS, malam ini. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Kegembiraan terpancar pada wajah 37 orang penghuni Bait Al Mawaddah, Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor, apabila diraikan pada majlis berbuka puasa bersama pegawai dan kakitangan Myeg Services Bhd anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS), malam ini.

Pusat jagaan berkenaan yang mula beroperasi pada Oktober 2014 adalah pusat jagaan warga emas pertama bagi golongan fakir, miskin serta gelandangan, yang ditubuhkan LZS.

Pengurus pusat jagaan berkenaan, Zaharudin Salim, berkata kebanyakan penghuni adalah sebatang kara dan tidak mempunyai ahli keluarga serta waris.

"Kalau ada waris sekalipun, mungkin adik-beradik mahupun anak saudara yang kebanyakannya tidak mampu menjaga mereka.

"Justeru, kami percaya di sini mereka lebih terjaga dan selamat. Mereka bukan sahaja dijaga, malah turut diberi bimbingan dari aspek keagamaan dan pembangunan insan," katanya.

Zaharudin berkata, guru agama juga disediakan untuk warga emas di situ belajar mengenai agama setiap hari, selain penghuni dibawa ke masjid berdekatan supaya mereka dapat bergaul dengan masyarakat sekitar.

"Selain itu, kita juga menyediakan guru untuk kelas IT (Teknologi Maklumat) dan kraftangan bagi mengisi waktu lapang warga emas ini sekali gus memenuhi minat mereka," katanya.

Pada majlis itu, penghuni terbabit turut menerima sumbangan duit raya dan pakaian sumbangan Myeg.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS,  Mohd Sabirin Mohd Sarbihi dan Pengarah Eksekutif Myeg Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha.

Berita Harian X