Rabu, 22 Jun 2016 | 4:36pm

DARC penuhi impian menunggang kuda

PENGUNJUNG, Khairizan Sabtu berpeluang memberi makan kuda di DARC.

SHAH ALAM: Disambut dengan dua penunggang kuda masing-masing berpakaian Apache dan Cowboy, ia sudah cukup menggambarkan keistimewaan kelab berkuda di Denai Alam, di sini.

Dinamakan Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC), ia menawarkan pilihan tempat untuk umat Islam berbuka puasa dengan menu ala bufet pada harga serendah RM28 bagi ahli kelab, manakala orang awam, RM37.80.

Pengasas DARC, Terry Teo, berkata bertemakan 'Jom Berbuka @DARC', kelabnya turut mengadakan kutipan untuk membantu anak-anak yatim di sekitar kelab berkenaan.

TERRY (kiri) sedang melayan pengunjung di DARC.

Katanya, kelabnya tidak bermotifkan keuntungan ketika menyediakan tempat untuk berbuka puasa kerana harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding pelbagai lauk-pauk yang disediakan.

"Lagipun, selain kemudahan surau, pengunjung boleh menyertai acara sunnah seperti memanah, berkuda dan berenang selepas waktu berbuka," katanya ketika ditemui di kelabnya di sini, malam tadi.

Terry, 52, berkata di DARC, beliau hanya mahu memenuhi impian semua orang yang kurang berkemampuan tetapi teringin menunggang kuda, menjadi kenyataan.

Berita Harian X