Rabu, 22 Jun 2016 | 5:43pm

Atlet Russia, Kenya perlu pengesahan sebelum sertai Olimpik


PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach. - Foto AFP

LAUSANNE, Switzerland: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach mengumumkan mana-mana atlet dari Russia dan Kenya yang mahu menyertai Olimpik Rio perlu dinilai secara individu dan disahkan layak terlebih dulu oleh persekutuan sukan antarabangsa negara masing-masing.

Kaedah terbabit diperkenalkan selepas timbul rasa tidak puas hati oleh badan anti-doping di kedua-dua negara terbabit dengan Bach menyatakan 'rasa sangsi yang serius terhadap anggapan tidak bersalah.'

Atlet olahraga Russia terus disekat daripada bertanding di Rio selepas IOC menawarkan 'hormat, penerimaan serta sokongan' terhadap larangan bertanding yang dikeluarkan oleh badan induk olahraga itu.

Namun, atlet terbabit masih berpeluang untuk ke Brazil selepas Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Russia, Aleksander Zhukov menjelaskan atlet yang bebas daripada penggunaan bahan terlarang akan memfailkan rayuan 'yang tidak dapat dipersoalkan secara undang-undang' kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). - Reuters

Berita Harian X