Khamis, 23 Jun 2016 | 10:58pm
PDRM logo
PDRM logo

Dua peragut depan gereja ditahan, seorang lagi diburu

KUALA LUMPUR: Dua daripada tiga peragut yang menjadi 'terkenal' selepas video mereka meragut seorang pelajar kolej di hadapan gereja di Jalan Tun Sambanthan, di sini 11 Jun lalu tersebar di laman sosial, akhirnya berjaya ditangkap, Sabtu lepas.

Bagaimanapun, polis masih memburu seorang lagi rakan mereka yang dipercayai melarikan dan kini sedang bersembunyi selepas identitinya dikenal pasti.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 dan 21 tahun itu ditangkap dalam dua serbuan berasingan di ibu negara.

"Hasil soal siasat yang dijalankan, mereka mengaku terbabit dalam kes berkenaan.

"Selain kes berkenaan, suspek turut mengaku melakukan sekurang-kurang enam lagi kes samun dan ragut sepanjang tahun ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya lagi, susulan penahanan itu, polis kemudian menahan dua lelaki yang juga pekerja kedai telefon bimbit di Kuala Lumpur kerana dipercayai menjadi pembeli hasil samun daripada geng peragut itu.

Dalam kejadian pada jam 12.20 tengah hari itu, Angelin Chew Hsia May, yang juga penuntut jurusan undang-undang di sebuah universiti swasta di ibu negara, bengkak pada belakang kepala, calar dan luka pada tangan dan bibir selain dua batang gigi atasnya patah separuh.

Ia gara-gara tindakan peragut bermotosikal yang gagal merentap beg silang dipakai mangsa menyebabkan mangsa jatuh terlentang dan kepalanya terhantuk pada jalan.

Kejadian terbabit berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) gereja berkenaan dan ia menjadi viral di media sosial selepas mangsa dikatakan memperoleh rakaman itu daripada pihak gereja.

Video berdurasi 46 saat itu jelas menunjukkan kejadian ragut berkenaan dari awal hingga mangsa dibantu seorang wanita pejalan kaki.

Berita Harian X