Jumaat, 24 Jun 2016 | 12:12am
PERKHIDMATAN nurseri Masjid al-Hasanah adalah percuma bagi memberi keselesaan kepada jemaah ketika solat Tarawih. - Foto Owee Ah Chun
PETUGAS yang menjaga kanak-kanak masih berpeluang menunaikan solat sunat Tarawih secara bergilir-gilir. - Foto Owee Ah Chun
ANTARA kanak-kanak yang sedang bermain di ruang khas yang disediakan di Masjid al-Hasanah. - Foto Owee Ah Chun
ANTARA kanak-kanak lelaki yang turut menunaikan sembahyang Tarawih di Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi. - Foto Owee Ah Chun
SEORANG jemaah memberikan gula-gula kepada kanak kanak selepas menunaikan sembahyang. - Foto Owee Ah Chun

Nurseri dalam masjid bantu ibu solat selesa

Oleh Latifah Arifin

[email protected]

BANGI: Antara masalah utama bagi ibu yang beranak kecil apabila mahu menunaikan solat Tarawih berjemaah di masjid ialah penjagaan kanak-kanak terbabit.

 

Dilemanya, jika dibawa ke masjid dan diletakkan berdekatan boleh mengganggu jemaah lain tetapi pada masa sama si ibu mahu meraih pahala solat berjemaah.

 


HIDAYAH (kanan) bersama sukarelawan memberi khidmat nurseri ketika solat Tarawih di Masjid al-Hasanah. - Foto Owee Ah Chun

Menyahut saranan supaya pihak masjid menyediakan kemudahan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak bagi keselesaan jemaah, Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, menyediakan ruang khas untuk ibu bapa meletakkan anak kecil mereka sepanjang Ramadan ini.

 

Perkhidmatan secara percuma itu membolehkan jemaah masjid menunaikan ibadah dengan tenang, sementara ibu bapa tidak risau keselamatan anak mereka yang berada dalam jagaan kakitangan ditugaskan masjid.

 

Biro Wanita Masjid al-Hasanah, Hidayah Mohamad, berkata sudah empat tahun masjid berkenaan menyediakan ruang nurseri untuk menempatkan kanak-kanak yang diselia enam petugas wanita dan seorang petugas lelaki yang memantau jemaah kanak-kanak di dewan solat.

 


SUDAH empat tahun Masjid al-Hasanah menyediakan ruang nurseri. - Foto Owee Ah Chun

Katanya, petugas yang menjaga kanak-kanak masih berpeluang menunaikan solat sunat Tarawih secara bergilir-gilir kerana golongan ibu dinasihatkan memendekkan solat kepada lapan rakaat dan kembali ke nurseri untuk menjaga anak mereka.

 

Beliau berkata, selain memastikan keselesaan jemaah melakukan ibadah, perkhidmatan disediakan secara tidak langsung menggalakkan kanak-kanak ke masjid dan ini dapat memupuk perasaan cinta masjid sejak di awal usia.

 

"Imam untuk solat terawih di sini dalam kalangan tahfiz. Sebelum ini ada rungutan yang bacaan mereka terganggu kerana bunyi bising daripada anak-anak kecil yang berlari-lari di dalam masjid.

 

"Alhamdulillah, sejak kami menyediakan kemudahan ini, solat makin tenang dan teratur. Imam dapat lebih fokus pada bacaan dan ibu bapa pula tidak perlu risau mengenai keselamatan anak mereka kerana dijaga sebaiknya," katanya.

 


RUANG khas untuk ibu bapa meletakkan anak kecil mereka sepanjang Ramadan ini. - Foto Owee Ah Chun

Perkhidmatan penjagaan anak itu diuruskan tujuh wanita yang dibayar elaun oleh pihak masjid dengan kadar RM30 sehari dan kebanyakan mereka adalah suri rumah.

 

Untuk memastikan pengasuh di situ turut berpeluang menunaikan ibadah solat sunat terawih, nurseri sementara itu mensyaratkan ibu bapa hanya meninggalkan anak mereka hingga rakaat ke lapan sahaja.

 


KHIDMAT nurseri Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, bermula dari jam 8.30 hingga 10.30 malam. - Foto Owee Ah Chun

Ia berbeza dengan amalan beberapa tahun sebelum ini yang mana ia dibuka sehingga selesai solat sunat witir menyebabkan pengasuh tidak berpeluang menyertai jemaah selain ada yang mengambil kesempatan meninggalkan anak untuk membeli belah di pasar raya berhampiran.

 

Dalam ruang yang selesa dilengkapi pelbagai jenis alat permainan, nurseri itu mengendalikan lebih 50 kanak-kanak dan bayi dengan ada ketikanya ada ibu yang membantu mereka menjaga anak-anak di situ.

 


HIDAYAH (berdiri, kiri) bersama sukarelawan yang lain memberikan khidmat nurseri di Masjid al-Hasanah. - Foto Owee Ah Chun

INFO

  • Khidmat nurseri Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, bermula dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.
  •  

  • Masjid yang turut menyediakan perkhidmatan nurseri termasuk Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Mustaqim Bandar Seri Putra, Bangi.
  •  

  • Sepanjang Ramadan, Masjid al-Hasanah dibuka 24 jam untuk iktikaf, selain disediakan jamuan berbuka puasa dan moreh serta sahur yang hanya bermula pada sepuluh malam terakhir.
  •  

  • Antara aktiviti masjid bagi menyambut Ramadan termasuk tadarus, kelas pengajian al-Quran dan kuliah agama oleh pendakwah bertauliah.
Berita Harian X