Jumaat, 24 Jun 2016 | 7:04pm
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)

KKIA catat 5 peratus peningkatan penumpang

KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mencatatkan 2.82 juta penumpang dengan peningkatan sebanyak lima peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pengurus Kanan KKIA, Sunif Naiman, berkata peningkatan itu didorong ketibaan pelancong asing dengan seramai 829,913 penumpang berbanding 655,768 penumpang antara Januari hingga Mei tahun lalu.

"Kedatangan pelancong asing mencatat peningkatan 26.6 peratus antara Januari hingga Mei tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagaimanapun, ketibaan penumpang domestik jatuh 1.9 peratus kepada 1.9 juta orang berbanding 2.03 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Namun jumlah keseluruhan penumpang meningkat lima peratus kepada 2.82 juta antara Januari hingga Mei tahun ini berbanding 2.68 juta bagi tempoh sama tahun lalu," katanya ketika memberikan taklimat kepada media mengenai perkembangan semasa KKIA, di sini, sebentar tadi.

Taklimat itu bertujuan memaklumkan kepada umum mengenai prestasi KKIA sepanjang lima bulan pertama tahun ini selepas pemindahan operasi terminal dua ke terminal satu KKIA sejak Disember lalu.

Beliau berkata, pemusatan operasi KKIA meningkatkan keselesaan penumpang dan kecekapan operasi dengan kapasiti semasa sebanyak 6.5 juta penumpang setahun berbanding kapasiti maksimum KKIA sebanyak sembilan juta penumpang setahun.

"Walaupun operasi KKIA sudah dipusatkan dengan pemindahan operasi AirAsia ke terminal satu dari terminal dua sebelum ini, kita masih mampu menampung ketibaan penumpang kerana masih belum mencapai kapasiti maksimum.

"Malah, jumlah penumpang waktu puncak (PPH) ketika ini hanya 1,764 berbanding kapasiti maksimum sebanyak 3,200 PPH, iaitu 55 peratus belum digunakan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah penumpang yang menggunakan KKIA dijangka meningkat 0.05 peratus sehari menjelang seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidilfitri berbanding 18,000 penumpang sehari.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X