Sabtu, 25 Jun 2016 | 3:11pm

Kirthana sedia ke Poland, SUKMA Sarawak


ATLET lompat kijang remaja, R. Kirthana.

KUALA LUMPUR: Atlet lompat kijang remaja, R. Kirthana bersedia menggalas cabaran negara dalam dua kejohanan penting iaitu Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland dan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, kedua-duanya dijadual berlangsung Julai ini.

Meskipun mempunyai masa yang singkat, gadis berusia 19 tahun dengan ketinggian 175 sentimeter itu berazam untuk memecah rekod kebangsaan 13.9 meter milik atlet seniornya, Noor Amira Mohamad Nafiah di Sukma Sarawak nanti.

Beliau dijadual menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia pada 19-24 Julai dan Sukma pada 26-29 Julai.

"Masa singkat untuk 'recovery' sebelum ke Sukma bukan halangan untuk saya beraksi cemerlang di Sarawak.

"Bagi saya mental dan fizikal saya perlu dalam tahap yang bersedia dan kuat. Saya akan buat yang terbaik di kedua-dua kejohanan itu," katanya.

Anak kelahiran Perak itu baru-baru ini cemerlang dengan lompatan sejauh 13.20m di Kejohanan Olahraga Junior Asia ke-17, Vietnam yang melayakkan beliau beraksi di Poland.

Walaupun mendapat pendedahan menyertai kejohanan lebih besar, Kirthana tidak mahu memandang rendah kebolehan pencabar atlet lain di Sukma nanti.

"Masih ada lagi atlet remaja yang bagus seperti Nadia Zuki, beliau adalah pencabar saya di Sukma nanti," katanya yang akan membuat penampilan di Sukma buat kali ketiga.

Untuk rekod, Kirthana meraih pingat emas dalam acara lompat kijang dan perak bagi lompat jauh di Sukma Perlis dua tahun lepas.

Selain Kirthana, tiga lagi atlet remaja yang bakal beraksi di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia ialah Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan dan Mohd Rizzua Haizad. - BERNAMA

Berita Harian X