Sabtu, 25 Jun 2016 | 10:04pm

Mangsa lecur perlu lama dirawat

SAIFUDDIN Ismail Din, 7, yang melecur 20 peratus di bahagian muka, badan dan kaki dipercayai bermain pemetik api di dalam kereta ketika ibunya mengisi minyak di pam Guchil. - Foto Ihsan Pembaca
SAIFUDDIN Ismail Din, 7, yang melecur 20 peratus di bahagian muka, badan dan kaki dipercayai bermain pemetik api di dalam kereta ketika ibunya mengisi minyak di pam Guchil. - Foto Ihsan Pembaca

KOTA BHARU: Kanak-kanak lelaki yang melecur 20 peratus di muka, badan dan kaki selepas disambar api kerana dipercayai bermain pemetik api dalam kereta ketika ibunya mengisi minyak di Kuala Krai semalam dijangka terpaksa menjalani rawatan yang lama.

Mangsa Saifuddin Ismail Din, 7, mungkin perlu menyambut Aidilfitri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut.

Ibu mangsa, Zakiah Mohd Dek, 31, berkata pihak HRPZ II memaklumkan anaknya dijangka berada di hospital lebih lama kerana memerlukan rawatan rapi terhadap kesan lecur di bahagian lutut.

"Doktor maklumkan kesan melecur di bahagian kulitnya lututnya agak sensitif dan mudah terkena jangkitan kuman sekiranya tidak dijaga dengan baik.

"Bagaimanapun saya berharap, kesihatan Abe Cik (Saifuddin) cepat pulih untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama," katanya ketika ditemui di HRPZ II, di sini, hari ini.

BH semalam melaporkan, Saifuddin melecur lebih 15 peratus di muka, badan dan kaki dipercayai bermain pemetik api dalam kereta ketika ibunya mengisi minyak di sebuah stesen pam minyak di Guchil, Kuala Krai.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai dengan bantuan orang ramai sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (CCU) HRPZ II di sini.

Zakiah berkata, berikutan kejadian itu, anaknya sering menyebut teringatkan kakak dan adik. Bagaimanapun, katanya keadaan anaknya bertambah baik dan kini sudah boleh bercakap, makan dan bermain alat permainannya.

\

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X