Ahad, 26 Jun 2016 | 12:03am
PROF Dr Ahmat Adam.

Punca pertikai Hang Tuah, tolak kajian Batu Bersurat Terengganu?


KERATAN akhbar BH pada 12 Disember 2015.

PANDANGAN sarjana sejarah, Prof Dr Ahmat Adam, cenderung menjadi kontroversi kerana selalu tidak senada dengan kebanyakan sejarawan lain. Selain isu Hang Tuah, Ahmat juga menolak kajian Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang menegaskan Batu Bersurat Terengganu ditulis pada 702 Hijrah. Wartawan BH Sastera, Hafizah Iszahanid menemubual Ahmat.

Soalan: Mengapa Prof cenderung berbeza pendapat dengan sesetengah sejarawan tanah air?

Jawapan:

Pandangan itu mungkin lahir kerana saya sering mempersoalkan kejituan pendapat sejarawan lain mengenai sejarah tanah air. Misalnya, kesahihan dakwaan Melaka dibuka pada 1262 yang saya sanggah dalam tulisan kerana lebih bersifat propaganda politik. Juga sikap terlalu bergantung kepada sarjana Barat mengenai penafsiran sejarah Malaysia.

Walaupun saya akui sarjana dan orientalis Barat banyak membuka mata mengenai sejarah, sastera dan budaya kita sehingga harus berterima kasih, saya tidak dapat menerima bulat-bulat semua pendapat mereka, apatah lagi pengaruh yang mencengkam minda kita selama berabad-abad perlu diluputkan.

Caranya, membuat penyelidikan tekun dan mendalam yang membuktikan kita tersilap menjadi pak turut. Kita harus berani mempersoalkan orang asing yang tidak tahu tulisan Jawi dengan lancar, bahasa kita dengan fasih dan agama kita dengan betul, tetapi membuat teori dan tafsiran mengenainya, bahkan agama kita.

Pergeseran akademik dengan beberapa sejarawan tempatan ialah kerana sikap mereka terlalu emosional dan ada kalanya mencampuradukkan sejarah dengan politik cauvinis, bahkan ada yang sanggup mendambakan diri kepada kepentingan orang politik.

Saya percaya ilmu sejarah menuntut sejarawan bersikap bebas dalam tindakan intelektual. Membenamkan kebebasan intelektual bererti melumpuhkan daya kreatif mencipta yang akan merugikan negara.

Soalan: Ramai melihat penolakan kewujudan Hang Tuah sebagai merendahkan semangat dan kepercayaan bangsa yang selama ini menganggapnya sebagai wira.

Jawapan:

Orang Melayu mesti menghadapi dunia moden serba mencabar dengan berpegang kepada kebenaran dan ketelusan sebagai asas kehidupan. Langkah permulaannya, sejarah tanah air orang Melayu perlu dibersihkan daripada tahyul, dongeng dan apa juga bentuk mitos.

Janganlah sekali-kali menganggap mitos sebagai sejarah kerana bangsa beradab tidak menganggap mitos sebagai sejarah. Cerita rakyat dan dongeng bangsa Greek tidak pernah dianggap sebagai sejarah mereka.

Soalan: Ada pandangan yang menganggap Prof menolak kajian Prof Naquib Al-Attas mengenai Batu Bersurat Terengganu sebagai hal remeh kerana perbezaannya sangat kecil.

Jawapan: Penegasan saya, tarikh baharu Batu Bersurat Terengganu yang betul ialah 708 Hijrah atau 1308 Masihi, berdasarkan penyelidikan saya terkini. Ada beberapa istilah Kawi, Jawa Tengahan, Sanskrit dan Melayu Kuno yang tidak ditonjolkan oleh pengkaji terdahulu - bukan Prof Naquib Al-Attas seorang - seperti pada (syurga dalam Sanskrit); saratan (bukan syaratan); meraksa (istilah Kawi dan Melayu Kuno); ko (bukan ku tetapi kau); inger dan banyak lagi yang tersilap dibaca oleh pengkaji terdahulu sejak 1924.

Pada awal abad ke-14, Terengganu dari mandalika atau koloni kerajaan Jawa Timur di Semenanjung Melayu yang bermula zaman Singhasari sehingga munculnya Majapahit.

Saya menemui sistem kalendar terawal di Nusantara yang menjadi takwim sebelum orang Jawa memberi nama windu dalam sistem kalendarnya. Ungkapan adi pratama merujuk kepada pusingan pertama dalam sistem yang dikenali sebagai windu berdasarkan kitaran atau siklus delapan tahun.

Sistem putaran delapan tahun ini mempunyai empat pusingan yang menjadikan jumlahnya 32 tahun. Namun setiap delapan tahun itu adalah satu siklus atau kemudiannya di Jawa disebut satu windu.

Berdasarkan pengiraan tahun dalam lapan pusingan itu saya mendapati tarikh 708H (1308M) bersamaan dengan tahun Pausa Hindu yang sejajar dengan tahun 1230 Saka Jawa, jatuh dalam siklus adi pratama itu. Tahun 702 Hijrah/1303 Masihi yang diusulkan Prof Naquib al-Attas, lantaran bersamaan dengan tahun Saka 1224 jatuh dalam siklus Sangara, iaitu siklus ketiga dalam sistem kalendar Jawa. Batu Bersurat Terengganu menyebut 'adi pratama adi Jumaat,' maka tidak mungkin tahun 702 Hijrah betul.

Mengenai menamakan sesuatu tahun berdasarkan seekor binatang, ia pengaruh budaya Jawa dan juga Siam yang mempunyai tahun dinamakan haiwan dalam sistem kalendar mereka. Kata saratan dalam bahasa Arab selengkapnya ialah saratan al-bahri, yakni dalam bahasa Melayunya disebut tahun udang kara yang dalam kalendar Jawa jatuh dalam lingkungan tahun adi.

Selama ini kajian terhadap Batu Bersurat Terengganu tidak menyentuh sistem kalendar yang tampaknya banyak dipengaruhi oleh Jawa.

28 dibaca
Berita Harian X