Ahad, 26 Jun 2016 | 12:06am
PENGUNJUNG boleh memancing pada harga RM10 sejam. - Foto Rohanis Shukri
PEMILIK UbiPadi Leisure (UbiPadi), Abdul Rahman Hassan. - Foto Rohanis Shukri

UbiPadi tawarkan pengalaman bermalam di dusun

UbiPadi Leisure (UbiPadi) di Hulu Langat. - Foto Rohanis Shukri

KALAU teringin merasai pengalaman makan buah-buahan di dusun atau menunggu durian gugur sekali gus mengutipnya sendiri, UbiPadi Leisure (UbiPadi) adalah lokasi paling sesuai untuk dikunjungi.

Aktiviti itu adalah kelainan yang ditawarkan oleh UbiPadi kepada pengunjungnya terutama apabila tiba musim buah-buahan.

Anda boleh bawa anak-anak yang dilahir dan dibesarkan di bandar melihat dengan dekat pokok durian, manggis, rambutan, pulasan, limau kasturi, cempedak dan nangka.

Malah, anda sekeluarga berpeluang mengutip sendiri durian yang baru jatuh dan membukanya untuk dimakan. Pengalaman itu amat sukar ditemui bagi kita yang tidak mempunyai dusun durian.

PENGUNJUNG diberi pengalaman menoreh getah di Ubipadi Leisure, Hulu Langat. - Foto Rohanis Shukri

Namun kedatangan anda sama ada bersama keluarga atau sahabat ke UbiPadi yang menyediakan pemandangan hijau yang indah dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan.

Pemiliknya, Abdul Rahman Hassan, berkata pengunjung yang ingin makan durian bukan sahaja boleh datang pada sebelah siang, malah bermalam di situ.

"Anda yang merasai pengalaman bermalam di dusun durian bagi menunggu buah gugur sekali gus mengutipnya sendiri dijemput datang ke UbiPadi.

PONDOK penginapan di Ubipadi Leisure, Hulu Langat. - Foto Rohanis Shukri

"Di UbiPadi terdapat pelbagai pokok buah-buahan dan ulaman seperti dokong, pulasan, cempedak, nangka, manggis, mangga, kedondong, jering, petai, limau, pisang dan nanas.

"Selain itu, kawasan itu juga ditanam dengan beberapa jenis sayur-mayur dan pucuk-ulam seperti ubi kayu, lengkuas, pokok kunyit, cili dan sebagainya," kata beliau.

Tumpuan aktiviti luar

Abdul Rahman berkata, UbiPadi berasal dari dua perkataan, ubi kayu dan padi dan penggunaan nama itu sebagai sebagai penghormatan kepada semua penduduk yang bercucuk tanam dengan dua tanaman ruji itu di kawasan terbabit sejak sebelum merdeka.

Katanya, kawasan itu pada asalnya ladang buah-buahan dan sawah padi yang dibangun semula pada 2012 untuk menampung aktiviti riadah dan rekreasi.

DUSUN durian di Ubipadi Leisure, Hulu Langat. - Foto Rohanis Shukri

"Konsep pembangunan UbiPadi adalah Belajar Melalui DIY (Lakukan Sendiri) dan Adventure, di mana pelbagai aktiviti di dalam dan di luar ladang menyediakan banyak peluang untuk memupuk dan meningkatkan proses pengalaman yang condong untuk semua peringkat umur.

"UbiPadi memberi tumpuan kepada aktiviti luar yang terdiri daripada perkhemahan dan berkelah," katanya.

Aktiviti di UbiPadi keseluruhannya lebih kepada konsep pendidikan terutama untuk generasi muda, yang akan dibawa masuk ke dusun diajar cara mengenali pelbagai jenis tumbuhan terutama pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.

Tapak khemah selamat

Semua pelawat dibenarkan menggunakan kemudahan yang disediakan kecuali khemah yang boleh disewa. Tapak khemah bersimen boleh memuatkan maksimum empat orang dewasa. Lampu khemah dan beg tidur juga disediakan untuk disewa.

Tapak perkhemahan dijamin selamat kerana berpagar sepenuhnya. Kemudahan tandas lelaki dan perempuan berasingan dengan sinki dan surau turut disediakan.

"Kita juga menyediakan dapur kecil dengan kemudahan memasak menggunakan kayu api sebenar. Jika ingin melakukan sesuatu tetapi tidak mempunyai peralatan memasak, jangan putus asa, satu set lengkap termasuk pinggan, cawan, periuk, kuali, dan lain-lain disediakan untuk disewa.

"Pengunjung juga boleh memancing pada harga RM10 sejam," katanya.

INFO

UbiPadi Leisure

Lokasi: Batu 18, Jalan Sungai Jerang, Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor.

AKTIVITI LAWATAN

Lawatan ladang getah

    Melihat sendiri cara menoreh getah dengan dibantu oleh pekerja kebun.

  • Bayaran RM20 seorang untuk tempoh hingga tiga jam

Lawatan ternakan ayam dan itik

* Bayaran RM10 seorang dewasa, RM5 seorang untuk kanak-kanak

Berita Harian X