Ahad, 26 Jun 2016 | 2:03pm

Kes demam campak meningkat 340 peratus

PUTRAJAYA: Sebanyak 873 kes wabak demam campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, sekali gus menunjukkan peningkatan 340 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan kes demam campak itu disebabkan kanak-kanak tidak mendapatkan imunisasi.

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Yusni Ariffin.

Katanya, majoriti wabak membabitkan rumah persendirian (63.6 peratus), diikuti institusi (28.8 peratus) dan komuniti (7.6 peratus).

"Sepanjang tahun 2015, terdapat 1,318 kes wabak demam campak dengan dua kematian dan belum ada kematian pada tahun ini.

"Sehingga minggu pertama bulan ini, sebanyak 66 kes wabak demam campak dilaporkan membabitkan 873 kes demam campak iaitu meningkat sehingga lima kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Pada 2014, hanya 11 wabak demam campak dilaporkan (bagi tempoh berkenaan) dan meningkat kepada 57 wabak pada 2015," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, bagi wabak cacar air, Dr Noor Hisham berkata, 109 kes dilapor pada tahun ini iaitu menurun 34.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan tiada kematian akibat cacar air pernah dilaporkan dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, demam campak dan cacar air adalah penyakit cegahan vaksin yang sangat mudah berjangkit melalui udara dan sentuhan langsung kepada titisan cecair pesakit.

"Imunisasi demam campak akan diberikan kepada kanak-kanak pada umur sembilan dan 12 bulan, manakala imunisasi cacar air tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

"Bagaimanapun, suntikan boleh diperoleh dari hospital dan klinik swasta pada kadar bayaran tertentu," katanya.

Berita Harian X