Ahad, 26 Jun 2016 | 2:56pm
DIFTERIA yang disebabkan jangkitan bakteria.
DIFTERIA yang disebabkan jangkitan bakteria.

Tiada kes difteria di Perlis

KANGAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menafikan berita yang tersebar melalui laman sosial kononnya seorang kanak-kanak perempuan yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, menunjukkan simptom difteria.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin, berkata sebaliknya kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dirawat selepas mengalami demam yang mempunyai kaitan dengan sistem saraf atau 'flaccid paralysis lower limb'.

"Ia bukan difteria, namun pesakit mempunyai masalah berkenaan tonsil pada tekak...apa pun kita sudah hantar sampel untuk menjalani ujian makmal berkaitan difteria sebagai langkah berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zaini berkata, hasil pemeriksaan pesakit dan adik-beradiknya yang lain disahkan pernah mengambil vaksin lengkap dan pihaknya percaya risiko untuk dijangkiti difteria adalah kecil.

"Sehingga hari ini, tiada sebarang kes wabak difteria dicatatkan berlaku di negeri ini dan kita harap masyarakat tidak perlu risau," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan 11 kes penyakit difteria direkodkan di Semenanjung membabitkan kematian masing-masing satu di Melaka dan Kedah.

Daripada 11 kes itu, tiga membabitkan adik-beradik di Melaka dan lapan lagi individu di Kedah yang mana rata-rata mangsa tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X