Isnin, 27 Jun 2016 | 9:14pm

Wanita ditemui mati dipercayai dibunuh

TAIPING: Seorang wanita berusia 49 tahun ditemui mati dipercayai akibat dipukul di sebuah rumah di Taman Kota Jaya, Simpang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, wanita warga tempatan itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan kecederaan oleh suami dan anaknya sebelum dihantar ke Hospital Taiping dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata pemeriksaan terhadap mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan serta pendarahan di kepala.


KETUA Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah

"Mangsa ditemui oleh anak dan suaminya di sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di hadapan kediamannya.

"Rumah berkenaan juga milik mangsa yang dalam proses untuk disewakan. Sebaik menemui mangsa suaminya menghantar mangsa ke hospital, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Harrith Kam berkata, setakat ini senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa belum dikenal pasti dan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

32 dibaca
Berita Harian X