Isnin, 27 Jun 2016 | 11:07pm

Beri sokongan untuk kejayaan negara - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 2,000 warga IPTA, IPTS dan NGO belia di Seri Perdana, malam ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 2,000 warga IPTA, IPTS dan NGO belia di Seri Perdana, malam ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu generasi muda terus memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan sedia ada untuk membawa negara mengecapi kejayaan lebih besar.

Beliau berkata keamanan, keharmonian dan kejayaan negara harus diperkukuhkan malah kalau ada kelemahan, ia harus diperbaiki.

Sebagai ketua nakhoda kapal, beliau berharap generasi muda terus mendukung perjuangan dan mencorak masa depan negara.

"Jangan sekali-kali meruntuhkan apa yang dibina pengasas-pengasas negara ini. Sekali runtuh, tidak mungkin baik semula. Kita lihat Brexit (Britain keluar daripada Kesatuan Eropah), negara maju seperti United Kingdom, kalau tersasar buruk padahnya.

"Malaysia aman, harmoni dan boleh ke hadapan bagi mencapai kejayaan yang lebih besar lagi. Kejayaan yang dilakukan bukan untuk siapa tetapi ia adalah untuk generasi muda hari ini.

"Keazaman kita (kerajaan) adalah membuat sebaik mungkin untuk Malaysia dan para pelajar," katanya pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 2,000 warga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dan badan bukan kerajaan (NGO) belia di Seri Perdana, di sini, malam ini.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib berkata kerajaan komited terus melakukan pengukuhan kepada Dasar Pengajian Tinggi melalui pembaharuan-pembaharuan dalam Buku Transformasi Pendidikan Tinggi sehingga 2025.

"Saya akan memberi sokongan sepenuhnya menjayakan pelan transformasi pendidikan negara. Saya juga berharap rating di semua IPTA dan IPTS bertambah tinggi.

"Saya berdoa semua pembaharuan yang dilakukan adalah yang terbaik. Saya mahu melihat universiti awam dan swasta dalam negara terus mendapat sanjungan dan pelajar yang keluar dari universiti akan mendapat pekerjaan dan masa depan yang lebih baik," katanya.

Najib menyaran semua IPTA dan IPTS terus menjana sumber kewangan tanpa menaikkan yuran pengajian dan membebankan para pelajar.

"Terdapat sebuah IPTA berjaya menjana hampir 30 peratus sumber pembiayaan daripada inisiatif sendiri. Sumber ini boleh menambah kemudahan dan memberi peluang untuk pelajar-pelajar," katanya.

Perdana Menteri berkata antara inisiatif untuk menjana sumber pendapatan yang boleh dilakukan universiti adalah mengenakan yuran pengajian lebih tinggi ke atas pelajar asing.

Pada majlis itu, Najib dan Rosmah turut menyampaikan sumbangan raya kepada 100 anak yatim dari dua buah rumah kebajikan iaitu Teratak Darul Barakah dan Ma' had Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X