Selasa, 28 Jun 2016 | 2:06pm

Pengedar dadah di FELDA ditahan dalam Ops Tapis

JERANTUT: Polis menahan seorang lelaki yang mengedar dadah di kawasan FELDA di sekitar daerah ini, menerusi Ops Tapis tengah malam Sabtu lalu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Azid Ismail dalam sidang media di sini, hari ini, berkata lelaki berusia 36 tahun yang pernah 11 kali ditahan atas kesalahan sama diberkas kira-kira jam 12. 30 tengah malam di rumahnya di FELDA Kota Gelanggi 2, dekat sini.

"Dalam serbuan berkenaan, kita turut merampas satu tiub straw dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 0.7 gram, satu paket ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.6 gram, satu paket dipercayai heroin seberat 37.2 gram dan paket plastik dipercayai syabu seberat 6.9 gram.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah berkenaan lebih RM17,000 untuk diedarkan di sekitar FELDA Kota Gelanggi 2 dan 4, FELDA Sungai Tekam dan sekitar daerah Maran," katanya di sini, hari ini.

Azid berkata, polis menahan reman lelaki berkenaan selama lima hari untuk siasatan lanjut selain merampas kereta Honda miliknya.

Berita Harian X