Selasa, 28 Jun 2016 | 5:55pm

Kes Kevin Morais: Seorang tertuduh ditawar tuduhan alternatif


Datuk Anthony Kevin Morais.

KUALA LUMPUR: Seorang daripada enam tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, ditawarkan pertuduhan alternatif di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

G. Gunasekaran, 48, seorang penganggur, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan alternatif itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Gunasekaran didakwa telah membantu menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan nombor plat WA 6264Q dengan niat untuk mengelak enam tertuduh lagi iaitu S. Ravi Chandaran, 45, S. Nimalan, 23, A. Thinesh Kumar, 26, M. Vishwanath, 26, R. Dinishwaran, 24, dan pakar patalogi Kolonel Dr K.Kunaseegaran, 53, daripada seksaan undang-undang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dari Jalan Dutamas 1, di sini ke ladang kelapa sawit Kampong Sungai Samak, Hutan Melintang, Hilir Perak, Perak, antara 7 pagi 4 September 2015 hingga 2 pagi 5 September 2015.

Pertuduhan alternatif itu dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Gunasekaran juga menghadapi pertuduhan membunuh Kevin Morais mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa berkata pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif itu tanpa menarik balik pertuduhan asal (Seksyen 302).

"Saya tidak akan tarik balik pertuduhan asal. Saya hanya tawar pertuduhan alternatif. Jika tertuduh mengaku bersalah, kita akan tarik balik pertuduhan asal," katanya pada sesi perbicaraan kes pembunuhan Kevin Morais yang masuk hari ke-16.

Perbicaraan hari ini bermula dengan saksi ke-26, Juruanalisis Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Inspektor Mior Samsul Abdul Rahman yang dipanggil semula menyambung keterangan.

Terdahulu sebelum pertuduhan alternatif ditawarkan, peguam V. Rajehgopal yang mewakili Gunasekaran, menarik diri daripada mewakili tertuduh atas faktor terdapat konflik kepentingan antara beliau dan tertuduh.

Mahkamah menetapkan 12 Julai untuk pengurusan kes bagi membolehkan Gunasekaran melantik peguam baharu.

Pada 27 Januari lalu, tujuh lelaki termasuk seorang doktor tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Kevin yang mayatnya ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September 2015.

Enam lelaki iaitu Gunasekaran, Dinishwaran, Thinesh Kumar; Vishwanath, Nimalan, dan Ravichandaran, mengaku tidak bersalah membunuh Kevin yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Dr Kunaseegaran pula mengaku tidak bersalah bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin, 55, di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.

Dr Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala enam lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 15 Ogos depan. - BERNAMA

68 dibaca
Berita Harian X