Rabu, 29 Jun 2016 | 8:57pm

Guan Eng, Li Khoon akan didakwa esok

Phang Li Khoon (kiri) dan Lim Guan Eng.

Kuala Lumpur : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Khoon, hari ini dipercayai berkaitan isu pembelian sebuah banglo.

Dalam satu kenyataan, agensi itu memaklumkan Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, ditahan di pejabatnya di tingkat 28 Bangunan Komtar, Pulau Pinang pada jam 5.45 petang tadi.

Sementara Li Khoon pula ditahan pada jam 4.15 petang di pejabatnya di Tingkat 6, Penang Garden.

Agensi penguatkuasa rasuah itu memaklumkan tangkapan dibuat selepas mendapat arahan dari Pejabat Peguam Negara bagi menuduh mereka di mahkamah, dijadual esok.

Pertuduhan kedua-duanya akan dibuat di Mahkamah Seksyen Pulau Pinang, pada jam 10 pagi esok mengikut Akta SPRM 2009.

Berita Harian X