Khamis, 30 Jun 2016 | 12:29am
JAUH dari keluarga sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, semua sukarelawan Mycorps tetap bersemangat menjayakan misi tiga bulan mereka di Phnom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 
SUKARELAWAN MYCorps bertungkus lumus menyiapkan peparitan untuk projek pembinaan taman permainan kepada kanak-kanak di Kampung Chnnang, Phom Pehn, Kemboja. STR/NOORATIQAH SULAIMAN
SUASANA Ramadan tidak menghalang sukarelawan MYCorps untuk bertungkus lumus menyiapkan projek pembinaan taman permainan kepada kanak-kanak di Phom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 
PETUGAS MYCorps giat menyiapkan projek pembinaan taman permainan kepada kanak-kanak di Kampung Chnnang, Phom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 
PESERTA MYCorps bergotong-royong menyiapkan projek taman permainan kepada kanak-kanak di Kampung Chnnang, Phom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 
SEMUA program dianjurkan MYCorps mendapat sokongan padu dan kerjasama baik daripada penduduk Kampung Chnnang, Phom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 
Peserta MYCorps turut masak juadah serta berbuka puasa bersama penduduk beragama Islam Kemboja di Kampung Chnnang, Phom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 
PESERTA MYCorps mengajar kanak-kanak mengenai aspek kebersihan diri di Kampung Chnnang, Phom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 

Belia Malaysia gigih berbakti kepada umat Islam Kemboja

PHNOM PEHN: Walaupun Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan budaya, namun sesekali menjejakkan kaki di negara serantau seperti Kemboja, pasti menjadi pengalaman sukar diungkapkan dengan kata-kata.  

Apatah lagi tujuan ke Kemboja bukan kerana kerja atau melancong, sebaliknya menyertai misi membantu penduduk daif atau terpinggir daripada pembangunan. 

Inilah pengalaman kira-kira 50 sukarelawan yang dipertanggungjawabkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia untuk membina beberapa keperluan asas untuk manfaat penduduk di negara ini.


SUKARELAWAN Mycorps kini dalam misi khidmat sosial selama tiga bulan di beberapa kampung sekitar Phnom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 

Misi program sukarelawan antarabangsa yang lebih dikenali sebagai MYCorps itu adalah bagi membina tapak semaian tanaman, taman permainan, tandas dan tangki air di Kampung Chhnang dan Kampung Smile di Phnom Pehn.   

MYCorps yang diadakan selama tiga bulan itu, menjadi lebih bermakna apabila semua peserta yang merangkumi golongan belia daripada pelbagai latar belakang perlu menjalani ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri di perantauan.

Peserta MYCorps, Khairul Azri Khairuddin, 24, berkata ini adalah pengalaman pertamanya menyertai misi sukarelawan bagi membantu penduduk di negara lain. 

Katanya, pengalaman berpuasa di Kemboja amat berbeza kerana perlu menghadapi cuaca yang sangat panas lagi kering dan pada masa yang sama, perlu menyiapkan projek yang sudah ditetapkan oleh KBS. 

"Kami perlu melakukan kerja berat sepanjang Ramadan. Berikutan itu, kami sepakat memulakan kerja mulai jam 6 hingga 9 pagi sebelum berehat kerana selepas itu cuaca semakin panas. 

"Kami menyambung semula kerja mulai jam 3 hingga 5.30 petang. Kaedah ini dibuat bagi mengelak dehidrasi yang tinggi. Pada mulanya memang sukar tetapi semakin lama kami semakin serasi dengan cuaca Kemboja," katanya.


JUADAH yang dimasak sukarelawan MYCorps dinikmati ketika berbuka puasa bersama penduduk Islam di Kampung Chnnang, Phom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 

Bagi Fazlan Thomas, 27, walaupun misi ke Kemboja adalah sebagai sukarelawan, mereka juga secara tidak langsung  berjaya mempromosikan nama negara melalui makanan yang dimasak oleh peserta MYCorps. 

"Kami perlu bergotong royong menyediakan juadah berbuka puasa sendiri. Berikutan itu, kami sepakat menyediakan juadah popular di Malaysia seperti nasi lemak supaya penduduk di sini, sekurang-kurangnya dapat mengenali juadah negara kita. 

"Syukurlah, makanan yang dimasak disukai penduduk, malah mereka turut mengakui makanan yang disediakan kami lebih sedap berbanding kumpulan dari negara lain yang pernah melakukan kerja sukarelawan di kampung sama," katanya.  

Fazlan berkata, menerusi program MYCorps, peserta juga mendapat pengalaman berbuka puasa di masjid berdekatan bersama penduduk kampung. 

"Setiap kumpulan akan masak beberapa juadah dan kemudian membawa makanan berkenaan ke masjid untuk berbuka bersama penduduk Islam, lazimnya di Kampung Chhnang, Phnom Pehn," katanya. 

Rakan mereka, Yuhanis Ahsad, 26, berkata program MYCorps sangat mencabar dan berjaya meyakinkannya untuk keluar dari zon selesa. 


SELAIN memastikan projek yang dirancang berjalan mengikut jadual, sukarelawan MYCorps juga memasak juadah berbuka puasa di Kampung Chnnang, Phom Pehn, Kemboja. - Foto Noor Atiqah Sulaiman 

"Ketika bulan puasa, peserta yang bukan beragama Islam perlu menjalankan kerja lebih masa bagi mengejar jadual ditetapkan untuk menyiapkan projek. 

"Bagaimanapun, kami di sini belajar menghormati antara satu sama lain. Walaupun kena kerja lebih masa, tidak sedikit pun timbul perasaan tidak puas hati. 

"Misi utama kami adalah untuk menolong masyarakat yang memerlukan. Melihat senyuman di wajah penduduk sudah cukup untuk membuatkan kami gembira," katanya.  

Berita Harian X