Khamis, 30 Jun 2016 | 2:51pm
Hanez Suraya bersama suami, Romie Razin Adilha dan anak, Putri Aleesya. - Foto ihsan instragram Hanez Suraya

Hanez Suraya bersiap sedia tinggalkan lakonan?


Hanez Suraya bersama suami, Romie Razin Adilha dan anak, Putri Aleesya. - Foto ihsan instragram Hanez Suraya

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hanez Suraya, mempunyai perancangan beralih pada perniagaan sebagai persediaan meninggalkan dunia seni untuk memberi tumpuan terhadap keluarga.

Hasrat berkenaan juga mendapat sokongan penuh suami, Romie Razin Adilha, apatah lagi sejak berkahwin, hamil hingga melahirkan anak dia sudah cuti berlakon kira-kira dua tahun.

"Sebagai isteri, saya akur kehendaknya untuk memberi perhatian kepada keluarga terutama sejak Putri Aleesya dilahirkan. Ikutkan memang rindu mahu kembali berlakon tetapi mengenangkan anak yang masih kecil, hasrat itu saya lupakan.

"Walaupun mempunyai pembantu, hal berkaitan anak saya mahu lakukannya sendiri, termasuk menyuapkan makanan, memandikan dan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.

"Cuma saya tidak mahu cakap akan bersara sekarang kerana takut nanti tiba-tiba ada tawaran berlakon dan saya menerimanya. Mungkin apabila anak sudah besar sedikit, saya boleh pertimbangkan soal kembali berlakon. Sekarang, biarlah saya berkorban dulu.

"Buat masa ini, suami galakkan saya menceburi bidang perniagaan. Tetapi apa bisnes yang bakal saya ketengahkan masih dalam perincian," katanya yang bergelar isteri ahli perniagaan itu pada Mac tahun lalu.

Memaklumkan kecenderungan terhadap bidang perniagaan sudah berputik sejak zaman solo, namun ia belum dapat direalisasikan sebaik mencipta nama di arena seni.

"Saya jenis manusia yang tidak suka menunggu duit tanpa berbuat apa-apa. Kalau teringin beli sesuatu, tidak perlu tunggu suami. Kalau berniaga, ada juga pendapatan sampingan untuk saya berbelanja.

"Dulu pun saya berseloroh, kalau tidak boleh berlakon dia kena bagi saya berniaga. Syukur kerana nampaknya suami juga serius dengan perancangan ke arah itu dan tahu saya bukan main-main," katanya yang mahu mengadakan majlis tahnik anaknya yang berusia enam bulan itu pada musim raya nanti.

405 dibaca
Berita Harian X