Khamis, 30 Jun 2016 | 3:03pm

6 kematian akibat demam denggi di Pahang

KUANTAN: Enam kematian akibat demam denggi direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang sejak Januari hingga 25 Jun lalu, berbanding lima kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, tiga kes kematian dicatat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), dua di Hospital Pekan, manakala satu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.

Pengarah JKN negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,309 kes demam denggi direkodkan, meningkat 61 kes (1,248 kes) berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sehingga 25 Jun lalu, Kuantan mencatat kes tertinggi iaitu 797 kes, diikuti Temerloh (165 kes), Maran (94 kes), Jerantut (82 kes).

"Daerah Raub merekodkan 37 kes, Bera (35 kes), Pekan (34 kes), Bentong (31 kes), Rompin (24 kes), Lipis mencatat sembilan kes dan satu kes di Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Zainal Ariffin berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di 222,578 premis dan melakukan semburan kabus di 556,014 premis dalam usaha membendung pembiakan Aedes.

Katanya, sejumlah 337 aktiviti gotong-royong dilakukan dengan kerjasama masyarakat setempat sejak Januari lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X