Khamis, 30 Jun 2016 | 5:04pm

Ibu bapa enggan beri suntikan boleh dihukum

PUTRAJAYA: Ibu bapa yang enggan memberi suntikan vaksin dan imunisasi kepada anak mereka hingga boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak lain boleh dihukum mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana menganiaya kanak-kanak.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan hari ini, berkata keengganan ibu bapa memberi suntikan itu menjadi punca merebaknya jangkitan yang mengancam nyawa kanak-kanak dan boleh disifatkan sebagai penganiayaan.

"Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) menyatakan mana-mana orang yang menganiayai kanak-kanak, melakukan kesalahan dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, Akta Kanak-Kanak 2001 sudah dipinda melalui Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 April lalu, disusuli Dewan Negara pada 4 Mei.

"Ia kini menunggu untuk diwartakan dan dikuatkuasakan bagi meningkatkan hukuman Seksyen 31 berkenaan," katanya.

Berita Harian X