X
Jumaat, 1 Julai 2016 | 5:13pm

Penyelarasan teksi, Uber, Grabcar dimuktamad hujung tahun

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada orang awam yang ingin pulang ke kampung sempena program lawatan kerja di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. - Foto Ghazali Kori
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada orang awam yang ingin pulang ke kampung sempena program lawatan kerja di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Kertas kerja penyelarasan perkhidmatan Uber dan Grabcar serta teksi dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata kertas kerja berkenaan perlu dinilai semula pihak berkaitan.

"Proses penilaiannya rumit dan mengambil masa panjang kerana membabitkan beberapa kementerian serta agensi selain Peguam Negara sebelum dibentangkan ke Kabinet.

"Kita mahukan peraturan yang mewujudkan keseimbangan antara teksi, Uber dan Grabcar supaya tiada perbezaan mengikut peraturan perkhidmatan pengangkutan," katanya selepas meninjau operasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sambil mengedarkan juadah berbuka kepada penumpang bas, hari ini.

Syed Hamid berkata, kaji selidik dalam talian oleh SPAD mendapati 75 peratus daripada 45,000 responden cenderung memilih Uber dan Grabcar sebagai pengangkutan awam utama.

Bagaimanapun, Syed Hamid menegaskan, perkhidmatan itu salah dari segi undang-undang.

"Uber beroperasi tanpa permit dan lesen perkhidmatan pengangkutan awam (PSV) yang jelas menyalahi undang-undang.

"Kertas kerja ini diharap akan mewujudkan situasi saling menguntungkan, sekali gus mengelak perbalahan antara pemandu teksi dengan Uber dan Grabcar," katanya.

Pada 18 Jun lalu, SPAD mengumumkan cadangan Program Transformasi Industri Teksi kepada kerajaan yang antara lain menjelaskan perlunya perkhidmatan Uber dan Grabcar dibenarkan dari segi undang-undang, selain menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X