Sabtu, 2 Julai 2016 | 1:15am

Aliran trafik meningkat di Plaza Tol Gombak arah timur

KUALA LUMPUR: Aliran trafik dilaporkan mula meningkat dan bertali arus di Plaza Tol Gombak dan Bentong menghala ke pantai timur setakat 11.30 malam ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata kenderaan mula keluar dari ibu negara menghala ke Pantai Timur, namun masih bergerak lancar di kedua-dua arah.

Sementara itu, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dilaporkan perlahan berikutan jumlah kenderaan yang bertambah menghala ke utara.

Menurut jurucakapnya, lorong kanan di KM194.9 dari utara Taiping ke Bukit Merah telah dibuka tetapi trafik masih sesak walaupun kerja-kerja pengalihan akibat kemalangan sudah selesai.

Beliau, bagaimanapun berkata kebanyakan aliran trafik lebuh raya utama di sekitar ibu negara dilaporkan bergerak lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Berita Harian X