Rabu, 12 November 2014 | 9:43am

Agama: Mazhab Syafie di Malaysia sudah lama bertapak

Sebahagian hadirin pada Wacana Nadwah Mazhab Syafie, di Kajang baru-baru ini. - Foto Kamarulzaman Ariffin

Ahli sejarah belum mendapat kata sepakat mengenai tarikh kedatangan Islam ke Malaysia, tetapi secara umum menerima Islam datang antara abad ke-13 dan 14 Masihi. Penemuan batu bersurat di Kedah, Pahang dan mata wang emas di Kelantan menunjukkan Islam datang ke negara ini lebih awal.

Berdasarkan catatan diberikan ahli sejarah juga, pendakwah yang datang adalah bermazhab Syafie, justeru masyarakat Malaysia yang menerima Islam daripada mereka terpengaruh dengan mazhab Syafie. Jelasnya, mereka mengenal Islam melalui tafsiran mazhab Syafie.

Begitulah dari sudut perundangan apabila kesan Islam dan aliran mazhab Syafie turut mempengaruhi sistem perundangan serta keadilan negara kerana sebelum kedatangan penjajah, undang-undang Islam di amalkan di negeri Melayu apabila Kanun Melaka dan Kanun Laut Melaka di guna pakai di negeri Melaka.

Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata mazhab bukan sahaja menjadi amalan masyarakat di mana ia bertapak, tetapi juga diperakukan pihak pemerintah sebagai mazhab rasmi negara untuk menentukan hukum, tafsiran hukum serta fatwa.

Pemimpin miliki autoriti tentukan polisi negara

Justeru katanya, dari sudut siyasah syari'yah atau urusan pentadbiran, pemerintah mempunyai autoriti menentukan polisi negara bagi kepentingan rakyat dan dalam kehakiman sudah tentu akan terikat kepada mazhab tertentu.

"Berdasarkan sejarah negeri Melayu menetapkan mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi untuk amalan fatwa dan mahkamah. Ia diterima pakai pada zaman penjajahan seperti Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 1952).

"Semua negeri menerima mazhab Syafie kecuali Perlis yang tidak mengikat. Mazhab ini dipakai hingga kini cuma ada peruntukan pengecualian boleh diterima mazhab lain jika mazhab Syafie tidak dapat memenuhi keperluan. Ini asas pemikiran yang kita warisi," katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu dalam Wacana Nadwah Mazhab Syafie Dalam Masyarakat Melayu anjuran bersama Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Dr Abdul Halim berkata, hukum furuk (perkara cabang atau ranting) yang dijadikan bahan perbincangan secara terbuka termasuk di media sosial kebelakangan ini telah mencabar kedudukan ulama menyebabkan timbul persoalan mengenai peranan ulama.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Penyelidikan Bairuni berkata, ulama sebagai ahli ilmu sepatutnya memberi penjelasan secara ilmiah berdasarkan fakta bukan terjebak atau mengambil kesempatan daripada isu dibangkitkan.

Kenapa pintu ijtihad ditutup

Contohnya, menjelaskan mengenai ijtihad, keperluan berpegang kepada mazhab dan kenapa pintu ijtihad ditutup iaitu untuk melindungi Islam daripada dirosakkan oleh mereka yang tidak cukup berkelayakan serta tiada keikhlasan dalam agama.

"Merujuk kepada isu berkaitan masalah furuk yang terkini program 'I Want to Touch a Dog', ulama sepatutnya tidak panas dan patut beri penjelasan. Malangnya, ada yang mengambil kesempatan dan pukul ulama dengan beri pandangan negatif.

"Sedangkan yang bercakap semua 'tok alim' yang berilmu dan faham al-Quran, tetapi bila timbul isu furuk ilmunya tidak menyelesaikan masalah. Jadi, ini agak mengecewakan. Dalam konteks hukum, jika ada yang tidak jelas akan diputuskan pihak ada kuasa seperti Majlis Fatwa," katanya.

Katanya, al-Quran dan sunah tidak menjelaskan mengenai mazhab begitu juga zaman sahabat serta selepasnya kerana mereka mendapat hukum daripada sumbernya. Berbeza dengan masyarakat kini, mereka memerlukan kepada sumber ilmu diasaskan ulama beribu tahun dulu sebagai rujukan.

Apa yang berlaku sekarang, ada pihak yang mempertikaikan keperluan terikat dengan mazhab dan ramai cuba membawa idea ijtihad yang tidak terikat kepada mazhab tertentu dengan alasan mazhab menimbulkan kecelaruan serta menyulitkan pelaksanaan Islam.

Dr Abdul Halim berkata, kunci gerakan itu mencabar autoriti dalam mazhab Syafie ialah dengan menimbulkan ijtihad, ikhtilaf, islah dan bidaah, tetapi perubahan itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya yang berkembang ialah pemahaman bidaah sempit yang membawa kepada pertelingkahan berterusan.

Sedangkan katanya, gerakan pembaharuan (Islah) di Mesir tidak menggugat mazhab rasmi negara itu iaitu Mazhab Hanafi begitu juga Muhammad Abdul Wahab tidak menggugat Mazhab Hanbali di Saudi. Berbeza di Malaysia, gerakan itu menyebabkan kecelaruan pemikiran dan hukum dalam masyarakat.

"Disebabkan itu, di Malaysia Muzakarah Ulama Semalaysia yang diadakan di Pulau Pinang pada 1952 membuat keputusan semua kefahaman ahli sunah dan amalan yang diamalkan dalam masyarakat selama ini adalah sah dan benar," katanya.

Fatwa kena berdasarkan mazhab Syafie

Sementara itu, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-14 yang diadakan di Johor pada 22 hingga 23 Oktober 1985 mengenai mazhab muktabar dalam fiqah Islam menetapkan setiap negeri di negara ini hendaklah mendasarkan fatwanya kepada mazhab Syafie.

Namun, dibolehkan menggunakan mazhab lain jika didapati sebab tertentu untuk menggunakannya serta direstui oleh sultan dan raja negeri berkenaan.

Beliau berkata, penerokaan dan perbincangan ilmu pelbagai bidang serta mazhab boleh dilakukan, tetapi dalam konteks amalan perundangan dan kehakiman hukum atau fatwa mesti terikat kepada mazhab Syafie yang ditetapkan negara.

Tujuannya untuk memudahkan pelaksanaan hukum di peringkat pemerintah dan amalan dalam kalangan masyarakat selain memperkukuhkan ikatan perpaduan serta persaudaraan Islam.

"Memahami hukum daripada sumber al-Quran, sunah dan ijtihad perlu berdasarkan kaedah ilmu yang digariskan ilmuwan muktabar dalam bidang masing-masing supaya pemahaman sesuatu hukum tidak lari daripada landasan sebenar. Sebab itu ulama dahulu menggariskan kaedah supaya difahami generasi kemudian," katanya.

Berita Harian X