Sabtu, 2 Julai 2016 | 7:13pm

9 terselamat bas masuk gaung

ANGGOTA Bomba memeriksa keadaan bas yang terbabas ke dalam gaung di KM226 Lebuh Raya Utara Selatan di Rembau, hari ini. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba memeriksa keadaan bas yang terbabas ke dalam gaung di KM226 Lebuh Raya Utara Selatan di Rembau, hari ini. - Foto ihsan Bomba

REMBAU: Sembilan orang terselamat apabila sebuah bas ekspres terbabas ke dalam gaung, di Kilometer 226 Lebuh Raya Utara Selatan di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, semua penumpang iaitu lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang pemandu warga tempatan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gemas, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Pegawai Bomba Kanan II Maszoraamin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.47 petang dan bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan lapan pegawai serta anggota.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4.14 petang, semua mangsa telah keluar dari kenderaan yang terbabas ke dalam gaung sejauh 13 meter dari lebuh raya.

"Semua mangsa selamat dan kini telah meneruskan semula perjalanan ke Gemas dengan menaiki sebuah bas lain," katanya ketika dihubungi di sini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X