Rabu, 12 November 2014 | 10:09am

SJK perlu pertingkat program pembelajaran bahasa Melayu


Subjek bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu membentuk generasi muda berbudi bahasa. - Gambar hiasan

Masyarakat Cina menarik nafas lega apabila cadangan supaya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dimansuhkan kerana dikatakan tidak membantu pembinaan masyarakat yang bersatu padu, dileraikan melalui kenyataan Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA pada 12 Oktober lalu itu bukan setakat melegakan mereka, malah memberi jaminan bahawa kedudukan sekolah berkenaan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ucapan itu, Najib menegaskan bahawa masyarakat Cina tidak perlu bimbang mengenai kedudukan SJKC kerana ia dilindungi undang-undang.

Cadangan itu timbul apabila beberapa pemimpin UMNO menyatakan pandangan supaya ia dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno pada hujung November ini. Mereka mendakwa SJKC tidak memberi sumbangan ke arah pembentukan bangsa Malaysia.

Selain itu, SJKC didakwa menjadi medan untuk pembangkang menanam sifat membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam kalangan murid, sekali gus membentuk murid yang tidak gemar bergaul dengan murid bangsa lain, terutama Melayu.

Antara pemimpin UMNO terbabit ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed. Beliau menegaskan, pembangkang menjadikan SJKC sebagai pentas politik untuk menyemai sentimen negatif terhadap kerajaan BN.

Dengan menafikan cadangannya itu berbentuk hasutan, beliau menegaskan Malaysia adalah negara tunggal di dunia yang mempunyai sistem pendidikan dua aliran, iaitu sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK). Sehubungan itu, beliau juga mencadangkan agar SJKC diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan sepenuhnya.

Reaksi pemimpin politik Cina terhadap cadangan itu sudah dapat dibaca. Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai membantah cadangan berkenaan dan menyifatkan ia tidak akan membantu BN meraih sokongan rakyat, manakala Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker, menganggap cadangan itu sebagai hasutan.


Keratan akhbar BH bertarikh 25 Oktober 2014 mengenai bahasa Melayu di SJK.

Malaysia beri peluang sekolah aliran bahasa asing

Pemimpin MCA dan masyarakat Cina keseluruhannya memang berhak menyuarakan ketegasan mereka mempertahankan SJKC. Namun demikian, dalam ketegasan itu mereka harus menerima hakikat bahawa hanya Malaysia negara di dunia yang memberi peluang kepada sekolah aliran bahasa asing selain bahasa kebangsaan untuk beroperasi.

Mereka seharusnya berterima kasih kepada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang memberi peluang kepada sekolah aliran bahasa asing untuk berdiri di negara ini selepas merdeka dan kekal hingga sekarang.

Hakikat yang lain ialah Malaysia berbeza dengan negara lain, termasuk negara maju seperti Korea Selatan, Jepun, Jerman, Amerika Syarikat, England dan Perancis yang tidak memberi tempat kepada sekolah vernakular. Negara jiran seperti Thailand dan Indonesia langsung tidak membenarkan sekolah vernakular untuk beroperasi.

Dengan meneliti pembelajaran dan penggunaan bahasa kebangsaan di Indonesia dan Thailand, masyarakat Cina di Malaysia seharusnya berasa bertuah kerana diberi peluang untuk mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar di SJKC.

Nama mereka dalam MyKad juga boleh ditulis dengan nama Cina berbanding masyarakat yang sebangsa mereka di Indonesia dan Thailand yang harus ditulis dengan menggunakan nama bercirikan aspek kebangsaan kedua-dua negara berkenaan.

Jika di Indonesia dan Thailand, usahkan nama asal mereka tidak boleh ditulis dalam dokumen pengenalan diri, malah bahasa ibunda mereka juga tidak dibenarkan dijadikan sebagai bahasa untuk pembelajaran, apatah lagi sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Seharusnya penggunaan bahasa kebangsaan di Indonesia dan Thailand yang berjaya membentuk jati diri bangsa masing-masing menjadi panduan kepada seluruh masyarakat di Malaysia untuk membentuk bangsa Malaysia yang bersatu di bawah penggunaan bahasa kebangsaan.

Dengan mencintai bahasa kebangsaan, masyarakat Jepun dan Perancis berjaya membuktikan kepada dunia bahawa mereka mampu mencipta kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, terutama sektor perkilangan dan automotif.

Gagal kuasai bahasa Melayu

Namun demikian, pembelajaran dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil, masing-masing di SJKC dan SJKT menimbulkan masalah berikutan ada murid di kedua-dua sekolah berkenaan gagal bertutur, apatah lagi menguasai bahasa Melayu.

Dapatan kajian penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid lepasan SJK membuktikan sistem pembelajaran bahasa Melayu di sekolah berkenaan tidak berjaya menghasilkan murid bukan Melayu yang benar-benar menguasai bahasa kebangsaan.

Dapatan itu didedahkan oleh Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong. Menurutnya, kajian terhadap sampel 14,000 pelatih di 79 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara pada tahun 2010 mendapati 604 pelatih bukan Melayu langsung tidak boleh berbahasa Melayu.

Jumlah berkenaan dijangka meningkat pada tahun selepas itu berikutan sikap tidak mementingkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid SJK. Lebih menyedihkan, kajian itu mendapati pelatih terbabit hanya memahami dan fasih bertutur bahasa Mandarin sesama mereka, sekali gus menyebabkan jurulatih program menghadapi kesukaran menyampaikan kandungan modul program itu.


Perpaduan murid sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan diperkukuh dengan penggunaan bahasa kebangsaan. - Gambar hiasan

Tingkat program belajar bahasa kebangsaan

Barangkali kenyataan Kok Seong itu boleh dikaitkan dengan kenyataan Najib pada perasmian Perhimpunan Agung MCA. Meskipun Perdana Menteri menjamin kelangsungan pendidikan sekolah vernakular, beliau mahu SJKC meningkatkan program pembelajaran bahasa Melayu kerana ia adalah teras perpaduan masyarakat pelbagai agama dan bangsa.

Najib mengingatkan pentadbir dan guru di SJKC supaya meningkatkan program pembelajaran bahasa kebangsaan bagi memastikan murid tidak bercakap dengan menggunakan ganti nama 'gua' dan 'lu' lagi. Amat jelas kenyataan Perdana Menteri itu mengandungi maksud tersirat, iaitu fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin melalui Artikel 152 Perlembagaan, tidak harus digugat oleh sesiapa pun kerana masyarakat Melayu sememangnya tahu menghormati kedudukan SJK dalam Perlembagaan.

Artikel 152 Perlembagaan memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan.

Amat penting untuk pentadbir dan guru SJK mengambil langkah tertentu bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di sekolah berkenaan kerana ia bukan setakat bahasa kebangsaan yang berfungsi menyatukan masyarakat pelbagai kaum, malah asas pembentukan sosiobudaya Melayu yang berlatarkan kesopanan, bertutur secara berlapik dan yang paling penting, tahu menghormati orang lain, terutama mereka yang lebih tua dan pemimpin sama ada pada peringkat akar umbi atau yang lebih tinggi.

Dengan menutur bahasa Melayu, si penuturnya secara tidak langsung terdidik memiliki jiwa yang lembut, tetapi tegas dalam mempertahankan hak dan kedaulatan bangsanya.

Hal ini dibuktikan melalui kajian sarjana barat seperti R O Winstedt dan R J Wilkinson terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam pantun, selain C Hooykaas terhadap sastera Melayu. Kajian mereka membuktikan bahawa hanya dengan menguasai bahasa Melayu, barulah akal budi Melayu boleh dikenali. Kajian terhadap kesusasteraan Melayu oleh sarjana terbabit mendapati bahasa Melayu mengandungi sumber yang kaya bagi membentuk masyarakat berbudi bahasa.

Sehubungan itu, penguasaan bahasa Melayu oleh murid SJK bakal membantu usaha membentuk masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri kebangsaan yang seharusnya memiliki kesantunan berbahasa. Sebagai warga negara Malaysia yang mendukung prinsip Rukun Negara, murid SJK harus mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih yang mampu direalisasikan melalui kaedah menambah waktu pendidikan bahasa Melayu di sekolah berkenaan.

Untuk tujuan itu, penyelarasan sukatan mata pelajaran bahasa Melayu antara SK dengan SJK dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) harus dilaksanakan. Proses pembentukan murid SJK yang menguasai bahasa Melayu tidak harus dilihat sebagai agenda tersembunyi kononnya untuk menghapuskan bahasa ibunda dan identiti murid Cina atau India di sekolah berkenaan.

Sebaliknya, ibu bapa murid SJK harus memahami bahawa anak mereka wajib mampu bertutur dalam bahasa Melayu dan yang lebih baik lagi, menguasainya dengan baik sama ada pada peringkat tulisan, mahu pun lisan.

Hormati bahasa Melayu medium erat perpaduan

Untuk tujuan itu, ibu bapa, pentadbir, guru dan murid SJK harus menghormati bahasa Melayu sebagai medium mengeratkan perpaduan kaum, selain bahasa yang mampu mendukung fungsi sebagai bahasa ilmu. Kegagalan murid SJK menguasai bahasa Melayu akan menyebabkan mereka dicop sebagai golongan yang tidak mementingkan perpaduan atau antikebangsaan yang mendedahkan mereka untuk dengan mudah dipengaruhi unsur antikerajaan.

Ketidakmampuan mereka bertutur dalam bahasa Melayu bukan setakat amat memalukan sistem pendidikan SJK, malah barangkali boleh disifatkan sebagai golongan yang tidak layak memegang taraf warga negara Malaysia.

Berita Harian X