Ahad, 3 Julai 2016 | 12:13am
JOHAN Raja Lawak dan isteri, Ozlyn. - Foto Instagram
JOHAN tidak peduli jika ada yang mengkritik tindakannya tegas kepada anak-anak.
BAGI Johan dan Ozlyn, teras dalam mendidik anak-anak adalah secara menunjukkan teladan yang baik.

Rotan, denda cara Johan didik anak


MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya. Itulah pegangan pasangan selebriti, Johan Raja Lawak dan isteri, Ozlyn.

Biarpun dilihat tegas dalam mendidik anak-anaknya yang masih kecil, pemilik nama sebenar Yazid Lim Mohamad atau lebih mesra dengan sapaan Johan enggan mempedulikan apabila ada pihak yang mengkritik tindakannya merotan dan memukul mereka.

Popular dengan identiti pelawak yang sering menghiburkan orang ramai dengan gelagat lucunya, Johan mengakui beliau mempunyai dua personaliti berbeza yang ditonjolkan mengikut keadaan. Hakikatnya, beliau sememangnya tegas dalam membentuk anak-anaknya untuk masa depan mereka.

"Biarlah jika ada yang mempertikaikan tindakan saya dan isteri yang dikatakan tegas dalam mendidik anak-anak. Saya rotan atau belasah mereka pun biarlah daripada kecil. Tidak guna untuk membentuk anak-anak apabila mereka sudah besar nanti.

"Sebenarnya, ibu bapa kami juga kurang bersetuju melihat cucu mereka dirotan dan didenda, namun inilah cara kami untuk mendidik anak-anak. Alhamdulillah, setakat ini saya gembira dengan pilihan yang dibuat kerana anak-anak mendengar kata.


GELAGAT lucu Johan sering menghiburkan orang ramai

DENDA dan merotan yang dilakukan Johan adalah bagi tujuan mendidik.

"Biarpun masih kecil, namun mereka sudah tahu rutin harian yang perlu dilakukan. Pembahagian masa yang dibuat juga dilakukan sebaik-baiknya untuk kebaikan mereka juga," kata Johan yang memiliki darah campuran Melayu di sebelah bapa dan Cina (ibu).

Ozlyn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, 34, turut bersetuju dengan kenyataan suaminya. Baginya, teras asas dalam mendidik anak-anak adalah dengan memberi teladan yang baik kepada mereka.

"Kami tidak kata cara kami adalah terbaik buat semua, namun inilah pendekatan kami gunakan untuk membesarkan anak-anak. Malah, ramai yang bertanya kepada saya bagaimana kami mendisiplinkan anak-anak, terutamanya yang didominasi oleh anak lelaki.

"Oleh itu, penting untuk mendidik anak-anak dengan memberikan contoh yang terbaik. Mana mungkin kita mengajar anak untuk melakukan sesuatu namun kita tidak pula mempraktikkannya? Cara terbaik adalah dengan menjadikan perkara bermanfaat sebagai rutin harian.

"Saya juga dulu pernah menyuarakan hasrat kepada ibu bapa untuk pergi ke kelab malam untuk melihat suasana di sana. Namun, bapa saya yang menghantar dan mengambil, secara tidak langsung saya sendiri tahu batas yang boleh dan tidak boleh dibuat," kata Ozlyn.


JOHAN dan Ozlyn ketika bercuti.

JOHAN dan Ozlyn pada majlis berbuka puasa keluarga Hanania.

Dikurniakan dengan anak-anak yang sihat dan comel, tentu sekali Ozlyn seperti ibu lain mahu berkongsi wajah mereka dengan umum, tetapi beliau perlu mendahulukan dan patuh akan kehendak suami.

"Sebab itu dalam laman sosial juga saya tetap berhati-hati untuk melepaskan gambar anak-anak. Jika ada pun, hanya sipi-sipi. Ia dilakukan pun selepas Johan tengok dan benarkan. Saya perlu akur, walaupun jika diikutkan kehendak diri, saya tak kisah berkongsi wajah anak-anak dengan orang lain.

"Dalam pada itu, ramai peminat yang selalu meminta kami memuat naik video anak bongsu kami, Chantiq. Kadang kala ikutkan hati banyak video yang ingin dimuat naik, namun semuanya perlu mendapat kebenaran Johan terlebih dulu," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X