Selasa, 5 Julai 2016 | 4:29pm

Sehelai sepinggang sehari sebelum Aidilfitri


OSMAN Yaakob, 59, melihat rumahnya yang hangus dalam kebakaran pagi tadi. - Foto Siti Rohana Idris

TUMPAT: Tragedi menimpa tujuh beranak sehari sebelum Aidilfitri apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Telaga Lanas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, rumah milik Osman Yaakob, 59, hangus dan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.

Osman, ketika ditemui, berkata sewaktu kejadian, beliau dan isteri, Salma Yusof, 50, tiada di rumah kerana berada di masjid yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka untuk solat Subuh.

"Selesai solat, saya berasa tidak sedap hati dan pulang ke rumah sementara isteri mendengar tazkirah Subuh. Saya bimbangkan keselamatan anak perempuan, Nadia Basyirah, 16, yang tinggal berseorangan kerana empat anak yang lain keluar kerana ada aktiviti selepas sahur.

"Sebaik tiba di rumah, saya terkejut melihat api di bahagian ruang tamu dan merebak ke bilik Nadia yang sedang tidur.

"Ketika itu api sudah pun membakar langsir pintu biliknya dan saya meredah masuk mengejutkannya," katanya.

Sebaik menyelamatkan anaknya, Osman mengejutkan jirannya kerana khuatir api akan merebak ke rumah mereka memandangkan ia marak dengan cepat.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba, Raja Arisan Raja Ismail, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.17 pagi dan tiba tiga minit selepas itu.

"Dua jentera bersama 12 anggota tiba ke lokasi dan kami mendapati rumah sudah 90 peratus terbakar kerana api sedang marak.

"Anggota bomba mengambil masa kurang 10 minit untuk memadamkan api kerana khuatir akan merebak ke rumah bersebelahan memandangkan jaraknya yang agak rapat," katanya.

Berita Harian X