Selasa, 5 Julai 2016 | 6:38pm

Maut kerana langgar kuda melintas

MANGSA, Mohd Abdulhaki Ahmad. - Foto Rosliza Mohamed

KOTA BHARU: Akibat melanggar kuda yang tiba-tiba melintas, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dalam kejadian kemalangan di Jalan Ketereh-Lundang Paku, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu, berkata mangsa, Mohd Abdulhaki Ahmad, 31, menunggang motosikal jenis SYM dari arah Ketereh menuju Lundang Paku sebelum melanggar seekor kuda yang tiba-tiba melintas.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta yang tidak dikenalpasti dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baharom berkata, mangsa yang bekerja sebagai buruh maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Baharom mengesahkan seorang remaja maut apabila merempuh sebuah kereta dalam kemalangan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail, kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Sharil Amran, 18, menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa menghala ke Kampung Sabak.

Menurutnya, ketika melalui jalan itu tiba-tiba sebuah kereta jenis PROTON Satria dari arah bertentangan cuba membuat pusingan U di hadapan Markas 8 Briged, dekat sini.

"Ketika itu motosikal ditunggang mangsa gagal dikawal lalu merempuh bahagian kanan kereta terbabit yang berhenti di situ.

"Akibatnya mangsa mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa sudah pun dituntut oleh keluarganya dari Kampung Pagar Jawa, Pengkalan Chepa, di sini, untuk urusan pengebumian.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X