Rabu, 6 Julai 2016 | 10:19am

Aidilfitri hiba 3 keluarga, rumah dihempap pokok


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bertungkus-lumus membantu mangsa pokok binjai tumbang, di Kampung Kelubi, Jalan Machang Pasir Puteh, malam tadi.

PASIR PUTEH: Kegembiraan tiga keluarga menyambut Aidilfitri pagi ini bertukar hiba, apabila rumah yang mereka diami di Kampung Kelubi, Jalan Machang - Pasir Puteh, di sini musnah dan hampir ranap dihempap pokok akibat ribut.

Dalam kejadian itu jam 6.30 petang, semalam, tiada yang cedera.

Mangsa, Wan Apandi Yaacob, 53, berkata lebih menyedihkan apabila segala persiapan raya termasuk pakaian baharu anak-anak dan kuih-muih untuk persiapan raya bertaburan dan basah digenangi hujan.

"Semuanya musnah, barang-barang bertaburan habis basah digenangi air dan tempat tinggal kami ranap dihempap pokok binjai," katanya ditemui pemberita, malam tadi.

Wan Apandi berkata, ketika kejadian dia, isteri serta lima anaknya berada dalam rumah menyediakan juadah berbuka puasa dan kuih-muih untuk persiapan menyambut Aidilfitri.

"Tiba-tiba kami dikejutkan dengan ribut kuat berserta hujan lebat dan bunyi dahan pokok patah.

"Saya terkejut melihat dahan pokok menembusi siling rumah. Saya hanya mampu melaungkan kalimah Allahuakbar dan menjerit meminta ahli keluarga keluar menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, pokok binjai sebesar enam meter ukur lilit itu tumbang di tengah rumah menyebabkan sebahagian besar rumahnya ranap.

Seorang lagi mangsa, Mohd Zaidi Yaakub, 58, berkata ketika kejadian, dia mendengar bunyi kuat bagaikan angin puting beliung.

"Akibat kejadian itu, sebahagian besar rumah kami rosak. Kami sekeluarga sedih kerana sepatutnya bergembira menyambut Aidilfitri, namun segala persiapan musnah," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Hussin Ab Rahman yang berada di tempat kejadian malam tadi berkata, operasi diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Alimi Mustapha itu membabitkan 10 anggota.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.50 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

"Semua penghuni membabitkan tiga rumah yang terbabit termasuk rumah seorang nenek bersama cucunya selamat," katanya.

Berita Harian X