Khamis, 7 Julai 2016 | 12:00pm

Empat rumah di Besut musnah dipukul ribut

KEADAAN rumah yang rosak teruk akibat dipukul ribut di Kampung Tok Raja, Besut.
KEADAAN rumah yang rosak teruk akibat dipukul ribut di Kampung Tok Raja, Besut.

JERTIH: Empat kediaman termasuk rumah yang didiami seorang peserta Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) musnah dipukul ribut di Kampung Tok Raja, dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang, semua keluarga terbabit sedang berehat di rumah masing-masing selepas menyambut tetamu yang datang berhari raya.

Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan hujan lebat berserta angin kencang selama hampir 10 minit yang memusnahkan rumah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Raja, Johari Salleh, berkata angin kencang yang melanda itu tidak lama namun menyebabkan kebanyakan rumah rosak teruk termasuk bumbung tercabut.

Katanya, kejadian itu juga menyebabkan sebuah rumah PPRT yang didiami ibu tunggal bersama empat anak rosak teruk apabila keseluruhan bumbungnya tercabut diterbangkan angin.

"Bagaimanapun, tiada laporan berhubung kemalangan jiwa setakat ini. Kami sedang berusaha mengenal pasti jumlah kerugian mangsa untuk menyediakan bantuan bagi membaiki kerosakan," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof yang juga ADUN Jertih, turut melawat mangsa sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu petang semalam.

Muhamad Pehimi berkata, kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada semua mangsa terbabit bagi membolehkan mereka tinggal di rumah berkenaan seperti biasa.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X