Khamis, 7 Julai 2016 | 1:10pm

Hillary Clinton tidak didakwa berhubung siasatan kes e-mel

HILLARY Clinton. - Foto EPA
HILLARY Clinton. - Foto EPA

WASHINGTON: Siasatan Jabatan Kehakiman ke atas kes penggunaan server e-mel peribadi oleh Hillary Clinton secara rasmi ditutup tanpa sebarang pertuduhan jenayah, kata Peguam Negara Loretta Lynch, hari ini.

Keputusan itu sudah dijangka dan hanya formaliti seiring cadangan Pengarah FBI, James Comey.

Malah sebelum kenyataan awam Comey itu, Lynch berkata, beliau berhasrat untuk menerima cadangan Pengarah FBI itu.

Pengumuman itu secara rasmi menutup siasatan FBI yang menghantui Clinton sejak tahun lalu sehingga menjadi antara gangguan kempennya untuk menjadi calon Demokrat bagi jawatan Presiden.

Lynch berkata beliau bertemu Comey dan pendakwa raya semalam dan mereka bersetuju penyiasatan berhubung penggunaan server e-mel peribadi ketika Clinton menjawat jawatan sebagai Setiausaha Negara, dihentikan.

Siasatan itu dilakukan kerana tindakan Clinton menggunakan server e-mel peribadi untuk urusan rasmi boleh menjejaskan maklumat sulit negara. - AP

Berita Harian X