Jumaat, 8 Julai 2016 | 12:36am
KAMERA lama ini pasti ada peminatnya di negara ini.
ANTARA kedai yang menyediakan barangan antik 'Made in England'.
BERSAMA rakan-rakan senegara untuk bersama mencari barangan antik.
JUALAN garaj oleh penduduk UK menyediakan pelbagai barangan antik.
ANTARA pilihan baran antik yang boleh didapati dengan mudah di UK.
MOHD Shafiq Rozali bersama koleksi barangan antiknya yang tersimpan di rumah di UK.
PELBAGAI barangan antik yang disimpan sebelum diberikan kepada rakyat Malaysia yang menempah.
KOLEKSI kotak mancis lama yang paling disayangi Mohd Shafiq Rozali.
MOHD Shafiq Rozali berjaya membeli barangan antik untuk pelanggan Malaysia yang menempah.

Geledah barangan antik di UK, pensyarah Malaysia cari pendapatan sampingan

KUALA LUMPUR: Bermula sebagai minat mengumpul barang antik ketika mengisi masa lapang mengikut isteri belajar di United Kingdom, Mohd Shafiq Rozali, kini secara tidak sengaja menjadi tauke barang antik buatan England.

Beliau menjual barang antik itu ke Malaysia menerusi laman sosial dan menerima permintaan menggalakkan selain menghasilkan pendapatan sampingan lumayan.

Mohd Shafiq tidak sukar untuk mendapatkan bekalan kerana UK dianggap syurga barang antik yang boleh diperoleh pada harga murah.

"Jangan  terkejut jika saya katakan mesin jahit tangan jenama Singer yang pertama kali dimiliki hanya dibeli dengan harga 1 pound sterling iaitu sekitar RM6 sahaja.


MOHD Shafiq Rozali.

"Pemiliknya ketika itu hanya berkata "I don't want it, its rubbish" namun tahukah anda bahawa nilai mesin jahit itu di Malaysia paling tidak pun berharga RM700," katanya kepada BH.

Mohd Syafiq yang juga pensyarah mengambil cuti tanpa gaji kerana mengikut isterinya yang melanjutkan pelajaran di UK.

Dia juga mendapatkan bekalan yang kebanyakan di lokasi jualan but kereta yang diadakan penduduk UK.

"Saya mencari barangan lama di jualan itu kerana boleh didapati dengan harga yang lebih murah. Penduduk di sini kebanyakannya menjual barangan itu kerana ingin mengosongkan rumah.

Mohd Shafiq berkata dia boleh memiliki barangan antik itu dengan harga rendah kerana membeli dalam mata wang pound malah lebih menguntungkan jika pandai tawar-menawar.


MESIN jahit lama ini dijual dengan harga rendah di UK.

"Barangan antik adalah subjektif bagi setiap individu dan tidak adil untuk katakan ia lebih baik di UK berbanding di Malaysia tetapi saya boleh katakan barangan di sini semuanya dijaga dengan baik.

"Masyarakat UK menjaga barangan mereka dengan sangat baik dan tidak hairanlah walaupun sudah beratus tahun, barangan itu masih utuh dan boleh digunakan," katanya.

Mohd Shafiq berkata, semua bermula apabila dia membuat akaun Facebook Gerobok Lama British : Vintage & Antique' untuk mempamerkan koleksinya namun mendapat perhatian daripada ramai pihak.

"Ada pula yang menghubungi saya untuk membeli koleksi itu dan lama-kelamaan hobi ini bertukar menjadi sumber pendapatan sampingan saya di sini.

"Saya akui ada barangan yang diminta sukar untuk diperoleh bagaimanapun saya berusaha untuk mencari. Jika ada, saya akan hubungi terus peminat yang mengirimnya," katanya.

Berita Harian X