Jumaat, 8 Julai 2016 | 11:34am

Shahir tiada syarat pilih teman hidup

KUALA LUMPUR: Ramai sudah tahu hubungan intim antara bintang Akademi Fantasia (AF), Shahir Zawawi dan aktres jelita, Erra Fazira.

Masih diperkatakan netizen, ramai menelah juara musim kelapan AF itu sebenarnya meminati wanita berusia atau matang. Jika tidak, masakan dirinya jatuh hati terhadap Erra yang 14 tahun lebih berusia berbanding dirinya.

Ketika diaju soalan itu kepada Shahir, dia sebaliknya mengaku soal usia cukup subjektif.

"Saya tak melihat seseorang atas paksi usianya. Memang saya tak pernah menetapkan kriteria bahawa wanita yang ingin saya kenali perlu matang dan berusia. Jika dia matang dan ada keserasian, saya memang tak ada masalah.

"Ketika fasa awal perkenalan saya dan dia (Erra), ia nampak lancar dan mudah... Seperti dipermudahkan.

"Komunikasi antara kami juga senang. Ketika baru kenal, ibaratnya kami seperti sudah lama kenal. Dia ramah dan mudah berbicara. Keserasian itu senang diterjemahkan," katanya kepada BH Online.

Shahir berkata, banyak sifat Erra yang dirasainya terlalu istimewa.

"Mungkin sisi itu hanya diketahui mereka yang rapat dengannya termasuk kawan. Ada sesuatu yang kita hargai pada dirinya. Ketabahan dan kecekalan dirinya sebagai wanita sangat hebat," katanya yang menyambut Syawal secara sederhana.

Ditanya apakah dia akan mengunjungi rumah keluarga Erra pada lebaran ini, Shahir berkata: "Insya-Allah (jika) ada masa."

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X