Sabtu, 9 Julai 2016 | 12:21am

Lodeh masak putih sebagai hidangan aidilfitri

HARI raya bagaikan tidak sempurna atau ceria tanpa ada sajian istimewa tradisional seperti lodeh masak putih dinikmati bersama lemang, ketupat dan rendang.

Di mana-mana tempat sekali pun, sudah menjadi kelaziman setiap kali menyambut hari lebaran akan dihidangkan dengan makanan istimewa tradisional sebagai simbolik meraikan hari penuh bermakna itu.

Sentuhan rasa lodeh masak putih yang mewah dengan perahan santan dimasak pekat selain campuran bahan lain seperti udang kering, kacang panjang, tempe, kulit tauhu kering, kubis membuatkan menu itu manis dan enak dinikmati bersama keluarga.

Biarpun sekadar menggunakan resipi bahan yang ringkas, namun sentuhan hidangan klasik ini mampu mencipta detik bermakna di saat meraikan hari istimewa akan menjelang tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Aura tampil mengetengahkan resipi masakan lodeh masak kuah putih dikongsikan Katering dari Luth Kitchen, Chef Ahmad Shah Rosli untuk pembaca cuba hidangkan kepada tetamu dan sahabat handai menjelang Syawal ini.


BAHAN yang digunakan untuk membuat sajian lodeh masak putih. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Bahan-bahan

Lodeh Lut Kitchen Istimewa

*Bawang merah 100 gram (g) (dipotong)

*Lobak 150g (potong kecil)

*Kubis 200g (potong halus)

*Kacang buncis 150g (potong pendek)

*Kulit tauhu kering 150g (potong kecil)

*Soo Hoon 30g

*Serai tiga batang (dititik)

*Santan 350g

*Garam dan gula secukup rasa

Langkah demi langkah

1) Panaskan kuali dan masukkan minyak lalu tumis serai.

2) Tuangkan air dan masukkan bawang. Reneh sehingga air panas.

3) Campurkan udang kering dan biarkan seketika.

4) Campurkan kesemua sayur sudah dipotong termasuk kacang buncis, lobak dan kubis .

5) Masukkan santan dan tempe sekali gus .

6) Kemudian, campurkan pula kulit tauhu kering dan soo hoon.

7) Kacau sebati semua bahan dan siap untuk dihidangkan.

Info:

1) Kuah lodeh putih biasanya dimakan bersama rendang mahupun kuah kacang.

2) Sekiranya ditambah dengan kunyit hidup, ia berubah menjadi menu lontong yang juga dimakan dengan nasi himpit.

3) Ada juga yang menambah bahan lain seperti udang segar atau isi ayam sebagai penambah rasa.

Berita Harian X