Ahad, 10 Julai 2016 | 12:01am

Terjemahan karya sejarah berkembang

PENTERJEMAHAN menjadi ruang yang sangat penting bagi memastikan karya bahasa Melayu berkembang, tidak sekadar berada dalam lingkungan penuturnya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, penerbit tempatan giat menyertai pesta buku antarabangsa di luar negara, sekali gus membina laluan untuk naskhah terbaik dalam bahasa Melayu menemui warga antarabangsa seperti Perancis, Jepun, Korea, Russia, Jerman dan Indonesia.

Perkembangan ini sesuatu yang sangat optimis bagi ranah kesusasteraan Melayu, apatah lagi dengan jalinan kerjasama yang menyaksikan terjemahan bagi karya terbaik negara ini mendapat tempat dan berupaya menjangkau pembaca yang lebih meluas.

Namun, penterjemahan pada karya bagaimanakah yang perlu terus diberikan tumpuan bagi memastikan aliran penterjemahan yang dilakukan berupaya menarik masyarakat antarabangsa?

Bagi bekas Pensyarah Universiti La Rochelle, Perancis, Prof Madya Dr Laurent Metzger, pembaca Perancis bukan sahaja menginginkan karya asli, bahkan paling utama ialah pembacanya ingin membaca karya terjemahan yang boleh membawa mereka ke dalam dunia berlainan.

Terjemahan karya unggul

"Terjemahkan karya yang unggul dan tidak mirip kepada karya sastera asing. Bagi saya sendiri, novel Haruman Kencana oleh Zaharah Nawawi yang menceritakan orang Malaysia ke Perancis.

"Selain itu, beberapa novel dari Sasterawan Negara (SN), Arena Wati yang berkisar sejarah juga mungkin menarik perhatian pembaca di Perancis untuk diterjemahkan," katanya.

Metzger mengakui bukan mudah untuk menterjemahkan karya yang dapat memperkayakan pembacaan masyarakat daripada budaya yang berbeza.

Beliau yang pernah menterjemah novel Imam karya SN, Datuk Abdullah Hussain, menganggap unsur kebudayaan dan bahasa yang tidak dimiliki Barat antara cabaran utama yang menyebabkan kerja penterjemahan menjadi sukar.

Pada masa sama, Metzger memuji usaha penterjemahan yang kini didahului Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) apabila giat menterjemah buku bahasa Melayu ke pelbagai bahasa asing dan sebaliknya.

Katanya, apa yang dilakukan ITBM, mengembalikan harapan untuk penterjemahan karya terbaik tempatan selepas usaha penterjemahan sebelum ini seakan menunjukkan kemerosotan.

Metzger yang juga pengkaji Sastera Melayu, turut membantu SN, Prof Emeritus Muhammad Salleh untuk menterjemah karya Perancis, Malaisie oleh Henri Fauconnier ke bahasa Melayu.

Papar kebudayaan masyarakat Melayu

Meskipun karya asal terbitan 1931 itu ditulis dalam bahasa Perancis, naskhah berkenaan yang berkisar mengenai Tanah Melayu pada abad ke-20 berperanan penting dalam memperlihatkan kebudayaan masyarakat Melayu daripada mata orang asing.

"Pengarang Malaysia, Salleh Ben Joned menganggap novel itu sebagai antara karya terbaik yang ditulis orang asing mengenai Tanah Melayu kerana watak utamanya bukan orang asing sebaliknya masyarakat tempatan," katanya.

Berita Harian X