Khamis, 14 Julai 2016 | 4:03pm

Kaji cadangan Mansuh Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk dewan perniagaan dan persatuan pengguna, sebelum memutuskan sama ada Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 dimansuhkan atau sebaliknya, menjelang akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kementeriannya akan berbincang dengan dewan perniagaan dan persatuan pengguna, sebelum membuat keputusan mengenainya selewat-lewatnya 31 Disember ini.

"Baru-baru ini, ada persatuan berjumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) meminta akta ini dimansuhkan. Saya belum lagi membuat keputusan.

"Saya sudah dapat persetujuan Jemaah Menteri untuk saya ambil tempoh hingga 31 Disember ini. Dalam tempoh itu kita nak tentukan sama ada ia dimansuhkan atau kekalkan dengan formula baharu untuk pastikan tak disalah guna peniaga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 digunakan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati. Ini termasuk tindakan menyorokkan barangan kawalan harga serta menaikkan harga dengan alasan kekurangan bekalan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X