Khamis, 14 Julai 2016 | 7:05pm

Moto2: Hafizh Syahrin azam bangkit di GP Jerman

HAFIZH Syahrin.

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah berazam bangkit daripada kekecewaan di Grand Prix (GP) Belanda bulan lalu, sekali gus mengembalikan musim Moto2 2016 disertainya berada di landasan sepatutnya.

Di litar Assen 26 Jun lalu, Hafiz terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas tayar jentera mengalami masalah kurang cengkaman pada baki tujuh pusingan dan keputusan itu menyebabkan dirinya jatuh ke tangga kelapan daripada kelima dalam carta keseluruhan.

Namun pelumba berusia 22 tahun dan dikenali dengan jolokan 'pescao' itu optimis untuk kembali berada di landasan sepatutnya meskipun GP Jerman hujung minggu ini, diakuinya bakal memberi cabaran lebih sengit.

Sejak mula menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia kira-kira dua tahun lalu, Hafizh masih belum pernah mengutip sebarang mata di Sachsenring - litar sepanjang 3.7 kilometer yang mempunyai 13 selekoh mencabar.

"Sachsenring sangat mencabar. Apapun, saya selesa dengan litar ini dan kami akan terus berusaha sejak awal sesi latihan pertama lagi.

"Kami akan bermula dengan menggunakan pelarasan tahun lalu pada penyerap hentakan baharu dan mempunyai penyerap hentakan tahun lalu sebagai sokongan. Saya akan cuba memberikan yang terbaik," kata Hafizh.

Selepas lapan pusingan musim, hanya dua perlumbaan yang menyaksikan Hafizh terkeluar daripada kelompok 15 terbaik iaitu di GP Amerika pada April dan di GP Belanda, bulan lalu.

Pencapaian terbaik Hafizh pula adalah di perlumbaan pembuka tirai musim 2016 di GP Qatar pada Mac dan GP Catalunya awal bulan lalu dengan berada di tangga keempat.

Jadual Hari ini:

7.10 mlm-7.50 mlm (Moto3) sesi latihan bebas 2

8.05 mlm-8.50 mlm (MotoGP) sesi latihan bebas 2

9.05 mlm-9.50 mlm (Moto2) sesi latihan bebas 2

*semua dalam waktu Malaysia

Berita Harian X