Khamis, 14 Julai 2016 | 7:08pm

Tak perlu kembalikan ISA untuk kekang IS

ANGGOTA polis melakukan kawalan bagi meningkatkan tahap keselamatan untuk mengelak sebarang ancaman militan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu mengembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengekang ancaman militan IS, sebaliknya undang-undang pencegahan sedia ada perlu dikuatkuasakan secara bersepadu.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) boleh digunakan bagi mengekang ancaman luar, termasuk militan IS.

"ISA tidak relevan untuk diwujudkan semula. Walaupun sudah dimansuhkan, elemen pencegahannya masih ada terutama terkandung di dalam POCA.

"Apa yang penting, undang-undang pencegahan yang ada sekarang perlu dikuatkuasa secara bersepadu untuk mendepani ancaman militan dan menangkis propaganda pengganas," katanya.

Beliau mengulas cadangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahmi Noor supaya ISA dikembalikan bagi membolehkan pasukan keselamatan mengekang ancaman militan IS di negara ini.

Ia susulan IS dikesan menerbitkan akhbar berbahasa Melayu untuk menarik anggota baharu dari penduduk di rantau ini termasuk Malaysia.

Abdul Halim turut berkata, mewujudkan semula ISA boleh mengundang bahaya kepada Malaysia kerana militan IS dan pengganas akan mempunyai alasan untuk menjadikan negara ini sasaran serangan kononnya mempunyai undang-undang tidak berperikemanusiaan.

"Justeru, penggunaan undang-undang pencegahan sedia ada sudah mencukupi. Walaupun ia mungkin mengambil masa kerana polis perlu menyiasat, mengumpul bukti dan mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan suspek, ia sebenarnya mendukung prinsip keadilan dalam undang-undang," katanya.

Berhubung usaha militan IS menerbitkan akhbar berbahasa Melayu untuk menarik lebih ramai anggota baharu menyertai kumpulan itu, Abdul Halim berkata, ia boleh ditangani menggunakan Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta POCA.

"Polis boleh menahan suspek, penulis, penerbit dan pencetak akhbar yang boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara mengikut Akta Hasutan yang dibaca bersama Akta Komunikasi dan Multimedia serta POCA," katanya.

Berita Harian X