Khamis, 14 Julai 2016 | 10:45pm

Jonathan, Zaidatul tambah koleksi emas


ATLET Olahraga negara, Jonathan Nyepa (kiri) dan Zaidatul Husniah Zulkifli bersama pingat emas masing-masing setelah memenangi acara akhir 100m lelaki dan wanita pada Temasya Sukan Universiti Asean Singapura di Stadium Choa Chu Kang. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SINGAPURA: Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli mengukir nama sebentar tadi, selepas masing-masing mengungguli acara 100 meter acara olahraga Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2016 di Stadium Chou Chu Kang.

Jonathan, 21, dari Sarawak memenangi perlumbaan dengan merakam kepantasan 10.62 saat berbanding pelari Vietnam Trong Hinh Le (10.66s) dan pingat gangsa menjadi milik pelari Indonesia Iswandi (10.75s).

Husniah pula tidak berdepan masalah mendahului sejak permulaan untuk merakam kepantasan 11.94s jauh meninggalkan Thi Oanh Nguyen dari Vietnam (12.27s) dan pelari Indonesia Yuliana (12.32s).

Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal diteruskan jaguh lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail yang hanya merangkul pingat perak susulan kecederaan kaki yang melandanya dengan K Prakash pula meraih perak dalam acara lompat tinggi.

Pelari Saidatul Izzati akur dengan gangsa dalam acara 400m lari berpagar.

Sementara itu, kontinjen renang pulang hampa pada hari ketiga acara terbabit selepas gagal menyambar sebarang pingat emas biarpun pada awalnya diletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya meraih dua emas semalam.

Acara kolam sekadar menyumbang satu pingat perak dan tiga gangsa iaitu menerusi kuartet 4x100m gaya bebas lelaki (perak) manakala tiga gangsa dihadiahkan oleh Wong Fu Kang (400m gaya bebas), Chan Yang (50m kuak kupu-kupu) dan kuartet 4x100m wanita negara.

47 dibaca
Berita Harian X