Sabtu, 16 Julai 2016 | 12:09am
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan memotong kek pada majlis santapan amal dan sambutan ulang tahun ke-5 Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Agong, Permaisuri Agong hadir majlis santapan amal YAYSH

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan amal dan sambutan ulang tahun ke-5 Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di sini, malam ini.

Majlis itu turut diadakan sempena ulang tahun keputeraan Tuanku Hajah Haminah hari ini, selain bertujuan mengumpul dana untuk YAYSH bagi membolehkannya meneruskan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan pada tahun berikutnya.

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Tunku Puan Temenggong Kedah, Puan Seri Tengku Maliha Tengku Ariff.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada jamuan amal itu, YAYSH berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.5 juta bagi pembangunan anak yatim, golongan miskin dan ibu tunggal di Kedah.

Majlis turut diserikan dengan acara memotong kek dan pulut kuning sempena ulang tahun keputeraan Tuanku Hajah Haminah, selain Raja Permaisuri Agong turut menerima cendera kenangan berupa sebuah kereta Proton Perdana baharu daripada Ahli Lembaga Pengarah YAYSH Datuk Ong Siew Swan.

Majlis juga diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal tanah air Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan penyanyi Indonesia, Marcell.

YAYSH ditubuhkan pada Julai 2011 bertujuan mengumpul dana bagi mengurus dan menangani isu kebajikan anak-anak yatim. - BERNAMA

Berita Harian X