Sabtu, 16 Julai 2016 | 9:41pm

Keluarga lega anak selamat biarpun terkandas di Turki


Halim Daud, menunjukkan gambar anaknya Muaz Halim, 19, (tiga dari kiri) bergambar bersama ahli keluarga sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa untuk menyambung pengajian di Universiti Al Azhar, Kaherah. - Foto Fathil Asri

KOTA BHARU: Bapa kepada seorang daripada 60 pelajar tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir melahirkan rasa lega dan bersyukur apabila mengetahui anaknya selamat dalam cubaan rampasan kuasa oleh tentera di Turki.

Halim Daud, 49, berkata anaknya Muaz, 19, yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul, Turki ketika peristiwa itu berlaku, sedang dalam perjalanan untuk ke Kaherah bagi mengikuti pengajian tahun pertama di Universiti Al Azhar, di Mesir.

Katanya, anaknya adalah kumpulan kedua daripada 200 pelajar tajaan YIK yang berlepas ke Turki dengan menaiki penerbangan Turki dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 10 malam kelmarin dan singgah di Lapangan Terbang Ataturk pada jam 4.15 pagi sebelum meneruskan penerbangan ke Kaherah.

"Syukur Alhamdulillah, anak saya memberitahu menerusi WhatsApp dia dan rombongan pelajar tajaan YIK yang lain berada dalam keadaan selamat ketika terkandas di Lapangan Terbang Ataturk berikutan kejadian cubaan rampasan kuasa di Turki, semalam," katanya ketika ditemui di rumah di sini.

Sebilangan tentera Turki dilaporkan cuba menggulingkan kerajaan Turki pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan awal pagi tadi.

Halim yang juga Penolong Kanan Pengetua Maahad Yaakobiah Nipah, Bachok, berkata Muaz memaklumkan mereka sudah mengetahui mengenai insiden yang sedang berlaku di Turki tetapi pesawat terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Ataturk kerana terlalu jauh untuk berpatah balik.

"Mereka sepatutnya transit selama dua jam sahaja di lapangan terbang berkenaan namun terkandas di situ kerana tidak dibenarkan berlepas oleh pihak berkuasa Turki," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kerajaan Kelantan mengesahkan 60 pelajar di bawah YIK yang dalam perjalanan ke Mesir terkandas di Lapangan Terbang  Antarabangsa Ataturk, di Istanbul.

Katanya, pihaknya dimaklumkan pelajar yang mengikuti pelbagai bidang pengajian termasuk perubatan dan pengajian Islam di beberapa universiti di Mesir itu sedang menunggu arahan selanjutnya sebelum dibenarkan meneruskan penerbangan ke Mesir.

"Terdapat dua kumpulan membabitkan 200 pelajar YIK dalam perjalanan ke Mesir sebelum transit di lapangan terbang berkenaan sejak Khamis lalu. Kumpulan pertama sempat berlepas ke Mesir manakala kumpulan kedua membabitkan 60 pelajar masih terkandas. 

"Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana keadaan semua pelajar terbabit selamat dan kita sentiasa memantau perkembangan mereka di sana dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X