Ahad, 17 Julai 2016 | 12:58pm

LRT - Perjalanan terus Sentul Timur-Putra Heights


PENGGUNA perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling-Ampang mulai hari ini menikmati perjalanan terus antara Sentul Timur dan Putra Heights. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling-Ampang mulai hari ini menikmati perjalanan terus antara Sentul Timur dan Putra Heights, yang dikenali secara rasmi sebagai LRT Laluan Sri Petaling bermula 6 pagi tadi.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengintegrasian kedua-dua laluan itu memberi penjimatan masa perjalanan yang signifikan khususnya dari Puchong dan Bandar Kinrara yang ingin membuat perjalanan lintas atau 'cross traveling' ke kawasan sekitar Subang, Subang Jaya dan USJ.

"Tetapi, apa yang lebih bermakna pada tanggal bersejarah 17 Julai ini adalah perjalananan terus antara Putra Heights dan Sentul Timur, yang merupakan perjalanan sejauh 37 kilometer (km) dan melalui 29 stesen, yang mulai hari ini secara rasmi dinamakan Laluan Sri Petaling," menurut kenyataan itu.

Menurut Prasarana, dengan sempurnanya migrasi sistem isyarat LRT Laluan Sri Petaling-Ampang semalam, Rapid Rail Sdn Bhd - operator perkhidmatan LRT dan monorel di Lembah Klang dan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), kini boleh memulakan proses menggantikan kesemua 30 tren terdahulu, yang mula digunakan pada 1996 ketika beroperasi sebagai STAR LRT.

Laluan Sri Petaling akan menggunakan tren-tren baharu sepenuhnya di mana 35 daripada 50 tren baharu enam gerabak yang dibeli daripada CSR Zhuzhou Electric Locomotive Company, China untuk Laluan Sri Petaling - Ampang sudahpun beroperasi setakat ini.

Baki 15 set tren baharu sedang dipasang di fasiliti tempatan milik mereka di Batu Gajah, Perak menurut kenyataan itu.

Tren yang sedang dipasang akan dihantar kepada Rapid Rail secara berperingkat dan kesemua tren bagi laluan LRT Laluan Sri Petaling - Ampang itu dijangka digunakan sepenuhnya awal tahun depan.

Dalam pada itu, Prasarana memaklumkan sebanyak 14 set tren empat-gerabak model terbaharu Bombardier Innovia Metro 300 sudah dibeli oleh syarikat itu bagi meningkatkan keselesaan para penumpang perkhidmatan tren Rapid KL bagi Laluan Kelana Jaya.

Tren-tren baharu itu akan mula beroperasi secara berperingkat mulai September ini, menurut kenyataan itu. - BERNAMA

60 dibaca
Berita Harian X