Ahad, 17 Julai 2016 | 1:19pm
KETUA jurulatih Terengganu, Mike Mulvey. - Foto Rozainah Zakaria

Prestasi merudum, Mulvey direhatkan serta-merta

KUALA TERENGGANU: Mike Mulvey menjadi ketua jurulatih Terengganu kedua yang direhatkan akibat kemerosotan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengendali kelahiran Manchester, England yang memiliki kerakyatan Australia itu direhatkan serta-merta bermula hari ini.

Keputusan drastik itu dibuat selepas pasukan bimbingannya dibelasah 6-1 kepada Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Jumaat lalu.

Sebelum itu, skuad Penyu dimalukan 1-2 kepada pasukan Liga Perdana, Melaka United (MU) dalam kancah Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Selasa lalu.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid.

Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas mengenai prestasi skuad Penyu dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat sebentar tadi.

Turut hadir Timbalannya, Mahadi Musa; Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Mazlan Ngah dan Marzuki Sulong serta Ahli Jawatankuasa PBSNT.

Berita Harian X