Ahad, 17 Julai 2016 | 4:30pm

Dua jam pandu 17km pada Aidilfitri


KEADAAN trafik sesak di lebuh raya pada hari puncak sempena cuti Aidilfitri. - Foto Iqmal Haqim Rosman

BARU-baru ini kawan saya dalam Facebook yang menggunakan nama Wazir Jilan Wazir menulis seperti berikut: 'Sesuatu yang sering saya fikirkan... sampai bila lebuh raya di Malaysia ini dapat mengatasi kesesakan jalan raya. Dari Alor Setar ke Ipoh mengambil masa 6 jam.

Dari Ipoh ke Gopeng 2 jam padahal 15 minit boleh sampai. Dari Shah Alam ke Ipoh 16 jam rekod saya masa perayaan Tahun Baru Cina tahun 2015. Maka jadilah pemanduan yang tidak berkualiti. Penat, kecewa, marah dan pelbagai implikasi. Harap pemimpin negara ini dapat memainkan peranan proaktif untuk mengatasi masalah ini. Semasa saya tinggal di Eropah tidak timbul masalah kesesakan ketika hari perayaan mereka. 'Public transport' sangat efisyen. Di sini.... letih la nak pikiak dah...'

Saya setuju juga dengan beliau. Daya tahan dan tahap kesabaran saya juga diuji pada Sabtu hari raya keempat lalu ketika memandu balik ke Kuala Lumpur. Dari kampung di Kuala Kangsar, saya memandu ikut Jalan Persekutuan atau sering disebut jalan lama bagi mengelak kesesakan di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dengan harapan boleh masuk lebuh raya selepas Gopeng. Dari Kampung Sayong Lembah hingga ke Ipoh, perjalanan lancar kecuali sedikit perlahan apabila melalui persimpangan lampu isyarat. Selepas Ipoh, apabila hampir ke Simpang Pulai, laluan mulai sesak dan pemanduan makin perlahan. Selepas itu, hampir dua jam untuk melepasi kesesakan Simpang Pulai-Gopeng. Itu jalan lama. Kalau ikut lebuh raya lagi teruk jem yang perlu ditempuh. Menurut PLUS, sebanyak 1.6 juta kenderaan menggunakan lebuh raya setiap hari pada hari puncak sempena cuti Aidilfitri.

Tambahan 20 peratus berbanding 1.3 juta pada hari-hari biasa. Maknanya 300,000 tambahan kenderaan. Entah berapa ratus ribu pula sehari pendapatan PLUS hasil daripada kutipan tol yang Wazir, saya dan pengguna lain bayar. PLUS dan Lembaga Lebuh Raya (LLM) tentu boleh fikirkan sesuatu, bukan setakat mencadangkan jadual waktu perjalanan orang ramai balik kampung yang tidak ramai pun ikut. Contohnya, jika jem teruk apabila di laluan arah Utara di Sungkai, PLUS boleh buka laluan sebelah yang tidak banyak kenderaan seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Ataupun arahkan kenderaan keluar ke jalan lama bagi mengurangkan kesesakan dan masuk semula selepas itu di laluan yang kurang sesak. Langkah lain, segera tambah kepada tiga dan empat lorong serta siapkan segera lebuh raya pantai. Harap-harap kita tak lagi perlu memandu dua jam untuk perjalanan 17 kilometer dari Ipoh ke Gopeng.

20 dibaca
Berita Harian X