Ahad, 17 Julai 2016 | 9:54pm

Wanita miliki pistol, dadah ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang wanita dan merampas sepucuk pistol bersama sejumlah dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pauh, Perai di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supt Mohd Mustafa Bidin, berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan sejak seminggu lepas, sepasukan polis menyerbu rumah didiami wanita itu pada 1.45 tengah hari.

"Semasa serbuan itu, wanita berusia 26 tahun itu sedang bersembunyi bawah sofa di ruang tamu," katanya di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal polis menemui sejumlah ketulan dan serbuk disyaki dadah heroin bersama wanita itu berserta satu paket plastik berisi dadah jenis sama seberat 8 gram dalam satu daripada bilik rumah itu.

"Pemeriksaan lanjut, polis menemui sepucuk pistol jenis revolver Smith & Wesson dan di dalamnya berisi lima butir peluru," katanya.

Mohd Mustafa berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menyiasat bagaimana wanita itu mendapatkan senjata api berkenaan.

Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan wanita itu adalah anggota rangkaian sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar daerah berkenaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan wanita yang tidak bekerja serta positif dadah itu kini direman bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, wanita itu disiasat menurut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 12(2) ADB 1952 dan 15(1)(a) ADB 1952. - BERNAMA

Berita Harian X