Rabu, 20 Julai 2016 | 3:53pm

3 sekeluarga terselamat daripada tumpahan asid sulfurik

TUMPAHAN asid sulfurik berlaku selepas sebuah lori yang membawa muatan itu terbalik di hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam nahas di persimpangan lampu isyarat Taman Kuchai, Kulim, pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca

KULIM: Tiga sekeluarga terselamat daripada tumpahan asid sulfurik selepas sebuah lori yang membawa muatan bahan kakisan itu terbalik di hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka, di persimpangan lampu isyarat Taman Kuchai, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu lori berkenaan dikatakan gagal mengawal kenderaannya ketika hendak membelok dari Jalan Perusahaan untuk masuk ke Jalan Paya Besar di persimpangan lampu isyarat Taman Kuchai, sebelum terbalik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Barudin Wariso, berkata ketika itu sebuah MPV dinaiki tiga sekeluarga berhenti di persimpangan itu sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

"Beberapa tong yang mengandungi bahan kimia dipercayai tertumpah di atas jalan termasuk ada yang mengenai kenderaan dinaiki tiga sekeluarga itu.

"Pemandu lori cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kulim dengan ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech untuk rawatan, manakala tiga sekeluarga yang menaiki MPV berkenaan turut dibawa ke hospital sama bagi tujuan pemeriksaan," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Kulim Hi-Tech, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah, berkata sepasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 10.09 pagi.

Katanya, setiba di tempat kejadian, beberapa tong yang mengandungi bahan kimia dilihat berterabur di atas jalan dengan ada bahan kimia yang tertumpah.

"Lori berkenaan membawa 30 tong berisi bahan kimia, namun 10 tong sahaja yang mengalami kebocoran. Kami menjalankan kerja pembersihan dan pemindahan sisa bahan kimia di tempat kejadian," katanya.

Berita Harian X